KUALA TERENGGANU: Syarikat pemaju hartanah, Kumpulan Ireka Corporation Berhad (Ireka) menawarkan sebanyak 1,716 unit rumah mampu milik dan bercampur menerusi projek perumahan baharunya di Kertih Jaya dan Kampung Semayor di Kemaman.
Pengarah Urusan Kumpulan, Mohd. Hasnul Ismar Mohd. Ismail berkata, projek berkeluasan 85.5 hektar itu melibatkan kos pembangunan kasar bernilai RM468 juta dan dijangka siap dalam tempoh enam tahun sehingga 2028.
Katanya, projek pembinaan itu dilakukan dalam tiga fasa dengan berkonsepkan bandar pintar dan hijau pada harga bermula serendah RM80,000 sehingga RM650,000 seunit.
“Pelaksanaan projek dijangka bermula Julai ini dengan fasa satu Plot A, Kertih Jaya siap pada hujung 2024 manakala urusan jualan pula seawal 2023.
“Matlamat kita untuk menjadikan Ireka terlibat dalam projek yang memberi kebaikan kepada rakyat secara keseluruhannya termasuk RMM, hospital, sekolah dan infrastruktur lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan pemeteraian Perjanjian Usaha Sama Cadangan Projek Pembangunan Perumahan Mampu Milik dan Bercampur Secara Penswastaan di sini, semalam.
Mohd. Hasnul Ismar berkata, ketika ini Kumpulan memiliki empat projek pembinaan yang dalam pelaksanaan dengan tiga di Lembah Klang manakala satu di Johor.
Katanya, pihaknya turut dilantik sebagai kontraktor utama projek baik pulih di Pasir Akar dan Tembila di Besut dengan kos pembinaan bernilai kira-kira RM200 juta. – UTUSAN










