Indeks Pelopor (IP) pada Disember 2021 meningkat kepada 2.1 peratus

IP meningkat, prospek ekonomi lebih optimis

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks Pelopor (IP) pada Disember 2021 meningkat kepada 2.1 peratus, menunjukkan prospek ekonomi yang lebih optimis pada bulan-bulan akan datang walaupun kes Covid-19 melonjak.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, IP pada Disember 2021 kekal dalam aliran pertumbuhan yang meningkat pada 2.1 peratus, mencecah 111.5 mata berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya (Disember 2020: 109.2 mata).

Beliau berkata, pertumbuhan disokong terutamanya oleh peningkatan kukuh dalam Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan.

“Berbanding bulan sebelumnya, IP perlahan kepada 0.3 peratus pada Disember 2021 berbanding November, 1.6 peratus. Penyumbang tertinggi kepada peningkatan ini ialah Import Benar Semi Konduktor (0.7%) dan Bilangan Syarikat Baharu Didaftar (0.5%),” katanya dalam kenyataan sempena penerbitan laporan Petunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak dan Susukan Bagi Disember 2021.

Mohd. Uzir memberitahu, IP pada Disember 2021 yang berterusan melebihi 100.0 mata dan meningkat, menunjukkan momentum yang lebih optimis terhadap prospek ekonomi pada bulan-bulan ke hadapan.

Jelasnya, di sebalik lonjakan kes Covid-19, Malaysia mengoptimumkan sumber penjagaan kesihatannya untuk mengekang penyebaran varian Omicron, berbanding pelaksanaan semula sekatan ekonomi atau sosial.

“Oleh yang demikian, membolehkan perniagaan mendapatkan semula momentumnya untuk memacu pemulihan ekonomi,” jelas beliau lagi.

Dari segi prestasi Indeks Serentak (IS), Mohd. Uzir berkata, pertumbuhan tahun ke tahun meningkat sebanyak 2.2 peratus untuk mencatat 113.9 mata pada Disember 2021 berbanding Disember 2020 sebanyak 111.4 mata.

Tambah beliau, IS yang menggambarkan keadaan ekonomi semasa menurun kepada perubahan bulanan negatif 0.3 peratus pada Disember 2021 (November 2021: 0.9%).

“Penurunan dalam IS dipengaruhi terutamanya oleh penurunan 0.4 peratus dalam Kapasiti Penggunaan di sektor Pembuatan. Namun begitu, prestasi IS pada Disember 2021 mengatasi prestasi pra-pandemik dengan
mencatatkan 100.4 mata,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN