PETALING JAYA: Honda Malaysia mengumumkan pelancaran kenderaan serbaguna (MPV) tujuh tempat duduk, Odyssey baharu yang diimport sepenuhnya (CBU) untuk pasaran tempatan yang dijual pada harga RM275,311 sebuah, tanpa insurans.
Odyssey buat pertama kali diperkenalkan di peringkat global pada 1994 dan memasuki pasaran Malaysia pada 2003 dan dikenali sebagai MPV 7 tempat duduk premium di negara ini.
Setakat ini, Hondal telah menjual hampir 2,000 unit Odyssey.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo berkata, Odyssey baharu itu memenuhi keperluan pelanggan dalam kalangan yang berkeluarga dan golongan eksekutif yang mencari MPV mewah tujuh tempat duduk dengan keselesaan perjalanan yang sangat baik, luaran elegan dan ciri utiliti yang tiada tandingan.
“Di samping itu, luaran yang dipertingkatkan dan kemasan dalaman premium akan meningkatkan lagi kegembiraan memiliki MPV Honda 7 tempat duduk yang mewah ini,” katanya dalam kenyataan.
Odyssey baharu mewarisi DNA model sebelumnya, memaparkan reka bentuk luaran yang luar biasa. Bahagian hadapan dipasang dengan jeriji baharu, lampu kepala LED baharu dengan lampu kedudukan dan rekaan bampar hadapan baharu untuk penampilan yang lebih elegan.
Bahagian belakang pula, antara penambahbaikan ialah rekaan lampu ekor dan bampar belakang baharu yang melengkapkan lagi penampilannya.
“Melengkapkan bahagian luar yang membezakan MPV ini ialah roda aloi bersaiz 17 inci serbah baharu serta lampu isyarat pusing berjujukan depan dan belakang. Secara keseluruhan, Odyssey Baharu diperhalusi dalam reka bentuk hadapan dan belakangnya, menghasilkan reka bentuk yang lebih lebar dan dominan,” jelas syarikat itu.
Odyssey baharu turut dilengkapi dengan ciri keselamatan termaju Honda SENSING untuk memberikan ketenangan kepada pemandu dan penumpang.
Ciri Honda SENSING dalam Baharu Odyssey ialah Adaptive Cruise Control (ACC), sistem brek cegah langgar (CMBS), amaran pelanggaran hadapan (FCW), sistem bantuan simpan lorong (LKAS), sistem cegah keluar lorong (RDM), amaran berlepas lorong (LDW) dan Auto High Beam (AHB).
Untuk menyokong lagi ciri keselamatan dalam Odyssey baharu, Honda mengekalkan ciri-ciri seperti Sistem Kamera Berbilang Pandangan dengan Bantuan Letak Kereta Pintar, Maklumat Titik Buta dan Pemantau Trafik Bersilang. – UTUSAN










