PETALING JAYA: Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) memegang rekod jam penerbangan tertinggi di Asia bagi helikopter tentera Airbus H225M.
Berikutan itu, TUDM bersama Airbus telah menganjurkan satu majlis di Pangkalan Udara Kuantan untuk menyampaikan penghargaan kepada TUDM di atas kejayaan tersebut.
Menurut Airbus, majlis tersebut telah dihadiri oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad dan Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan.
Katanya, Ketua Serantau bagi Airbus Helicopters Asia Pasifik, Vincent Dubrule telah menyampaikan anugerah kepada Panglima Tentera Udara bagi meraikan dan memperingati pencapaian penuh bersejarah tersebut.
Turut hadir Pengarah Urusan, Airbus Helicopters Malaysia merangkap Ketua Pegawai Operasi, Airbus Helicopters Asia Pasifik, Gerard Pau dan Wakil Ketua Negara Airbus di Malaysia, Raymond Lim.
“Juruterbang helikopter H225M TUDM yang masing-masing telah mencapai sejumlah 2,000; 1,500; 1,000 dan 500 jam penerbangan dalam helikopter H225M juga telah diberikan anugerah pencapaian jam penerbangan di majlis penuh bersejarah ini,” katanya dalam kenyataan.
Airbus berkata, Fleet helikopter H225M TUDM sebanyak 12 unit telah berkhidmat semenjak 2012 lagi.
Jelasnya, direkabentuk untuk menangani misi yang paling mencabar, helikopter H225M telah mengambil bahagian dan menyertai pelbagai misi latihan dan kemanusiaan, termasuk operasi penyelamatan semasa banjir dan operasi menyelamatkan nyawa.
“Secara keseluruhan, kesemua unit tersebut berjaya mengumpulkan lebih dari 20,000 jam penerbangan.
“Aset tempur pelbagai fungsi dan serba boleh yang terbukti keupayaannya, helikopter H225M membolehkan pasukan tentera dihantar ke mana sahaja pada bila-bila masa diperlukan.
“Pada masa kini, sejumlah 125 helikopter H225M berada dalam perkhidmatan di seluruh dunia. Selain Malaysia, Brazil, Perancis, Indonesia, Mexico, Kuwait, Singapura dan Thailand juga bergantung kepada keupayaan helikopter H225M untuk menyokong dan melaksanakan misi mereka yang paling mencabar,” jelasnya. – UTUSAN










