Guna jentera, teknologi menyeluruh tiga tahun lagi - MPOB - Utusan Malaysia

Guna jentera, teknologi menyeluruh tiga tahun lagi – MPOB

INDUSTRI sawit negara masih menggunakan kaedah konvensional dalam penuaian buah kelapa sawit, selain turut bergantung kepada pekerja asing. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyasarkan penggunaan jentera dan mesin automatik yang lebih menyeluruh dalam usaha meningkatkan produktiviti tuaian kelapa sawit sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing.

Justeru, Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir menegaskan, syarikat perladangan perlu mengambil kesempatan terhadap keuntungan besar yang diperoleh daripada lonjakan harga sawit semasa dengan melabur dalam penyelidikan bagi memantapkan lagi industri huluan kelapa sawit.

Menurutnya, pemindahan daripada cara tuaian manual kepada automasi itu memerlukan penyelidikan dan inovasi yang semakin berkembang agar dapat menghasilkan mesin yang memudahkan kerja seperti Cantas, iaitu mesin pemotong tandan sawit yang telah diperkenalkan beberapa tahun lepas.

“Buat masa ini, kita memang menggunakan teknologi di ladang-ladang kelapa sawit namun bukanlah yang paling optimum. Oleh itu, kita menggalakkan syarikat perladangan yang mendapat keuntungan besar sekarang melabur dalam mekanisasi supaya kita mampu meningkatkan pengeluaran walaupun tanpa tenaga buruh asing.

“Selain itu, apabila kita telah meningkatkan penggunaan jentera moden dan mesin, jadi pekerjaannya tidak seberat sekarang dan sudah tentu dapat menarik minat rakyat tempatan untuk menceburi bidang ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Terdahulu, media melaporkan niaga hadapan minyak sawit Malaysia mencecah rekod tertinggi baharu kepada RM5,700 setiap tan pada awal dagangan Isnin lalu, berikutan pengurangan bekalan daripada pengeluar dan pengeksport utama Indonesia.

Bagaimanapun, kontrak penanda aras minyak sawit bagi penghantaran April di Bursa Malaysia turun 0.73 peratus kepada RM5,587 setan.

Sementara itu, Penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai memberitahu, pihak bertanggungjawab perlu serius dalam memperkenalkan teknologi untuk meningkatkan produktiviti kelapa sawit supaya dapat meminimumkan hasil terbiar yang tidak dapat dikutip ketika terdapat kekangan buruh asing seperti yang berlaku kini.

Jelasnya, industri kelapa sawit negara telah mencecah lebih 50 tahun dan seharusnya kita telah menaik taraf proses tuaian dengan inovasi mesin elektrik seperti yang diusahakan oleh negara barat.

“Kita perlu mempergiatkan usaha penyelidikan dan inovasi dengan pembabitan universiti tempatan. Kita tambahkan inovasi baharu dalam proses tuaian daripada memetik buah dan mengangkutnya keluar dari ladang.

“Selain itu, kerajaan perlu menggalakkan pelaburan industri hiliran kelapa sawit untuk penggunaan tempatan dengan wujudkan banyak kilang untuk memproses kelapa sawit untuk dijadikan marjerin, keju dan sebagainya, seperti dilakukan oleh Indonesia yang mula menjalankan ujian penggunaan petrol dari minyak kelapa sawit.

“Ia akan memberi nilai tambah lebih tinggi kepada produk sawit tempatan yang dieksport ke luar negara sekali gus meningkatkan keuntungan dan ekonomi. Kita perlu melihat peluang besar yang dapat dicungkil daripada kelapa sawit dan bukannya sekadar komoditi untuk eksport semata-mata,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN