JOHOR BAHRU: Pengeluar bas dan badan bas yang berpangkalan di negeri ini, Gemilang International Limited (GML) memperoleh tempahan tunggal terbesar dari Uzbekistan untuk membekalkan 190 kit badan pengangkutan awam itu.
Kejayaan itu hadir kurang sebulan selepas kumpulan itu memenangi dan memenuhi tempahan untuk menghantar bas sekolah elektrik ke California, Amerika Syarikat (AS).
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif GML, Pang Chong Yong berkata, kontrak terbaharu dari Uzbekistan itu bakal meletakkan mereka sebagai syarikat yang lebih kukuh dalam pasaran baru di Asia Tengah selain membantu untuk meneroka negara seperti Belarus dan Kazakhstan.
Menurutnya, kontrak menghantar 190 kit badan bas secara pemasangan tempatan (CKD) ke Uzbekistan itu diperoleh pada bulan ini dan dijangka dapat disiapkan pada Oktober depan.
“Uzbekistan adalah salah satu daripada enam pasaran tumpuan kami untuk 2022, selain AS, Australia, Singapura, Hong Kong dan Malaysia sendiri. Kontrak ini adalah pesanan berulang dari Uzbekistan dan merupakan batu loncatan untuk kami berkembang dengan lebih jauh di rantau ini.
“Walaupun banyak penawaran tender ditangguhkan dalam tempoh dua tahun yang lalu kerana pandemik, dengan situasi ekonomi yang semakin pulih, kami ingin melihat lebih banyak pembukaan tender dari pasaran sasaran kami tahun ini.
“Kami berbesar hati kerana pesanan berulang dengan kuantiti yang lebih besar ini secara tersirat menunjukkan kepercayaan negara luar terhadap kepakaran dan kualiti produk Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sejak 2015, GML telah menghantar lebih 160 kit badan bas ke Uzbekistan, menjadikan negara itu sebuah pasaran pertumbuhan penting bagi kumpulan berkenaan yang kini sedang giat menaik taraf infrastruktur dan kesalinghubungannya termasuk pengangkutan.
Kontrak itu diperoleh melalui pembidaan tender kompetitif yang dijalankan bersama rakan kongsi GML termasuk pembekal casis dan pembina badan bas tempatan.
Tambah Chong Yong, faktor utama kemenangan tender itu adalah keistimewaan kit badan aluminium rekaan GML yang menggunakan teknologi dari Switzerland dan material yang digunakan untuk struktur badan bas pula terdiri daripada aloi aluminium siri 5000-6000 yang berketahanan tinggi.
“Inilah intipati kejayaan pengalaman industri Gemilang selama tiga dekad dan GML bertekad untuk menghasilkan solusi pengangkutan mesra alam yang mudah, mampan, konsisten dan berkualiti. Lebih penting, kontrak ini membuktikan kredibiliti GML dalam menghasilkan bas dan badan bas yang menepati piawaian keselamatan pengangkutan di negara destinasi,” katanya.
Tambah beliau, GML turut menjangkakan kontrak terbaharu itu akan menjadi penyumbang hasil utama kepada syarikat bagi tahun ini yang tersenarai di Bursa Saham Hong Kong dan menjangkakan lebih banyak tender pada masa depan dari negara itu.
“Memandangkan Malaysia adalah pangkalan kami, kami berharap pembangunan berterusan ini dapat menyumbang kepada pertumbuhan negara untuk jangka masa panjang seperti peningkatan peluang pekerjaan, pelaburan modal dan inovasi dalam segmen EV yang sedang pesat,” katanya. – UTUSAN










