Gading Kencana, syarikat Arab Saudi meterai MoU bernilai AS$1 bilion - Utusan Malaysia

Gading Kencana, syarikat Arab Saudi meterai MoU bernilai AS$1 bilion

MUHAMAD Guntor Mansor Tobeng (kiri) dan Tariq Saad Ghazzawi bertukar dokumen selepas menandatangani perjanjian persefahaman di Ekspo Dunia Dubai 2020 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu , kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gading Kencana Sdn. Bhd., (Gading Kencana), antara syarikat pengendali ladang solar terbesar di Malaysia, telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan March Global LLC (March Global), syarikat berpangkalan di Arab Saudi bagi membangunkan ladang solar di Asia Barat, Afrika dan rantau ASEAN.

MoU itu ditandatangani di Dubai sempena Ekspo Dunia Dubai 2020 kelmarin, membabitkan nilai pelaburan sehingga AS$1 bilion (RM4.2 bilion) bagi membangunkan ladang solar di negara-negara membangun menjelang 2025.

Pada majlis itu, Gading Kencana di wakili oleh Pengarah Urusannya, Prof. Datuk Dr. Ir. Muhamad Guntor Mansor Tobeng, sementara March Global oleh Pengerusinya, Tariq Saad Ghazzawi.

Muhamad Guntor berkata, MoU kerjasama itu meliputi aktiviti, transaksi, perhubungan, kontrak dan kerja yang berkaitan membangunkan ladang solar dengan fokus utama di rantau Asia Barat dan Afrika Utara (MENA).

“Rantau MENA dipilih kerana ia mempunyai potensi besar dalam penerokaan tenaga boleh diperbaharui selari dengan perkembangan semasa global yang mahu mengurangkan pergantungan kepada sumber tenaga konvensional.

“Selain itu, MoU juga adalah pengiktirafan kepada syarikat dari Malaysia yang membuktikan Malaysia mempunyai kepakaran dalam bidang tenaga boleh diperbaharui terutama solar yang mampu memainkan peranan di peringkat global melalui kerjasama seperti ini,” katanya dalam kenyataan.

Muhamad Mansor menambah, kerjasama pertama antara Gading Kencana dan March Global adalah membangunkan ladang solar di Khulais, Arab Saudi berkapasiti 100 megawatt (mw).

Katanya, selepas Arab Saudi, ia diikuti dengan penerokaan potensi pelaburan di Ghana dan beberapa negara di Afrika Utara.

Untuk rantau ASEAN pula katanya, melalui MoU yang ditandatangani itu, Gading Kencana dan March Global akan membangunkan ladang solar di Vietnam.

“Melalui MoU ini akan membolehkan syarikat Malaysia seperti Gading Kencana mengorak langkah ke pentas antarabangsa dengan mengambil kesempatan daripada perkembangan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui global yang menyaksikan pertumbuhan kukuh dalam dua tahun lalu, dengan kapasiti penjanaan baharu mencecah hampir 280 gigawatt (GW) pada 2020, kira-kira 45 peratus lebih tinggi daripada 2019, menandakan peningkatan tahun ke tahun tertinggi sejak 1999, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).

“Kapasiti penggunaan tenaga elektrik daripada sumber tenaga boleh diperbaharui global diramalkan meningkat lebih daripada 60 peratus antara 2020 dan 2026, mencecah lebih daripada 4,800GW. Penambahan kapasiti yang sangat tinggi akan menjadi `normal baharu’ pada 2022.

“Dengan tenaga boleh diperbaharui menyumbang 90 peratus daripada pengembangan kapasiti kuasa baharu, menurut IEA, maka syarikat-syarikat tempatan Malaysia juga perlu pantas merebut peluang yang terbuka di peringkat global melalui jalinan kerjasama dengan syarikat antarabangsa seperti March Global untuk meneroka potensi baharu di negara-negara membangun,” kata Muhamad Guntor.

Gading Kencana mempunyai 27 tahun pengalaman dalam bidang solar termasuk menguruskan ladang solar mega di Bidor, Perak dan Melaka.

Gading Kencana juga pakar dalam pembangunan tenaga solar berskala besar, kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pengujian dan pentauliahan sistem fotovoltaik suria.

March Global pula bermula dengan hanya 10 pekerja, kini berkembang menjadi kumpulan syarikat yang pelbagai.

Spektrum perniagaannya merangkumi industri runcit, barang kemas halus, perdagangan minyak & gas, tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga, penyelesaian IT, penyelenggaraan operasi, keselamatan industri perkhidmatan, katering, reka bentuk dalaman, seni bina & perancangan bandar, pembinaan dan pembangunan hartanah dalam Kerajaan Arab Saudi, serta merentasi Teluk Arab dan pasaran antarabangsa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN