Felda telah menguasai sebanyak 82 peratus pegangan saham dalam FGV.

Felda mahu swastakan FGV

Idris Jusoh memberikan taklimat kepada media mengenai kejayaan dan hala tuju Felda di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah menguasai sebanyak 82 peratus pegangan saham dalam FGV Holdings Bhd. setakat ini, sekali gus membolehkan pihaknya menyelesaikan banyak permasalahan dengan lebih cekap.

Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar berkata, pihaknya sedang berusaha untuk menswastakan FGV namun usaha itu memerlukan masa.

Ujarnya, penguasaan saham lebih besar itu membolehkan agensi tersebut menguruskan ladang perjanjian pajakan tanah (LLA) FGV, kilang sawit, serta isu-isu melibatkan peneroka dengan lebih mudah.

“Sebelum ini FGV mengelola semua kilang sawit di kawasan Felda. Semasa pemilikan saham hanya 34 peratus, kita tidak dapat kawal walaupun ada masalah ketika itu. Namun, sekarang kita sudah kawal 82 peratus dan dapat selesaikan banyak masalah. Pihak FGV dan kilang-kilang pun sudah faham dan kita selalu adakan perbincangan.

“Kita akan buat pengumuman apabila tiba masanya. FGV ini besar kerana satu peratus saham FGV bersamaan 32 juta unit saham. Jadi, perancangan memang mengambil masa yang lama kerana prosedur berkaitan syarikat tersenarai perlu diumumkan di Bursa Malaysia dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Taklimat Media Mengenai Kejayaan Felda dan Hala Tuju Felda Baharu oleh Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh, di sini semalam.

Pada Mac tahun lalu, Felda menguasai 81 peratus pegangan saham dalam FGV termasuk Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF).

Ketika ditanya mengenai masalah kekurangan pekerja asing di ladang, Idris menjelaskan, kelebihan Felda adalah masih mempunyai peneroka tempatan dan tidak bergantung 100 peratus kepada tenaga kerja asing.

“Kita telah mengkonsolidasikan pengurusan ladang dengan mewujudkan Sistem Pengurusan Ladang Pintar (Smart Plantation Management Solution-SPMS) bagi menguruskan ladang berskala besar dengan pembangunan bermula Januari 2021.

“Ini bertujuan untuk meningkatkan sinergi pengurusan dan hasil kebun peneroka Felda dan mencapai kos operasi yang minimum dengan satu sistem, satu operasi dan satu pasukan,” ujarnya.

Sementara itu, dalam taklimat tersebut, Idris menekankan, sepanjang 2020 dan 2021, Felda berjaya mencapai beberapa peristiwa penting antaranya menyelesaikan penyata hutang peneroka pada September 2020, memansuhkan 80 peratus hutang peneroka, mengguna pakai mekanisasi dron untuk kerja meracun, menerima RM9.9 juta sumbangan peneroka bagi program Sedekah300 dan melancarkan Waqaf Felda.

Selain itu, Felda turut menerima 98,962 peneroka yang menandatangani Perjanjian Penghapusan Pinjaman sehingga November 2021 and memperkenalkan program Neuro Linguistic (NLP) kepada 3,424 peneroka Felda yang bertujuan mengubah minda dan pemikiran ke arah lebih positif dan berdaya maju. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN