Purata inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana.

Ekonomi terus pulih, inflasi dijangka kekal sederhana

PERTUMBUHAN ekonomi negara dijangka terus kukuh pada 2022 selaras dengan pemulihan ekonomi global dan pelbagai langkah diambil oleh kerajaan. – GAMBAR HIASAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi negara dijangka berada pada landasan pemulihan selaras dengan pertumbuhan global yang terus perkembang dan perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, pada 2022, ekonomi dalam negeri dijangka terus berada pada landasan pemulihan disokong oleh permintaan global yang terus berkembang dan perbelanjaan sektor swasta lebih tinggi berikutan keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik dan sokongan dasar berterusan.

“Penerusan projek pelaburan besar dalam sektor swasta dan sektor awam juga akan terus menyokong pertumbuhan.

“Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk terus mendapat manfaat daripada kegiatan ekonomi dan aktiviti perdagangan global yang berkembang.

“Program pemberian vaksin penggalak dan pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berumur lima tahun ke atas yang dipercepat, seiring dengan kapasiti sistem penjagaan kesihatan yang mencukupi, akan membantu meningkatkan kegiatan ekonomi dalam negeri, lantas mengukuhkan momentum pemulihan,” katanya dalam sidang akhbar secara maya.

Bagaimanapun, ujarnya, imbangan risiko terus cenderung ke arah pertumbuhan menjadi perlahan, disebabkan terutama oleh perkembangan berkaitan dengan Covid-19 pada peringkat global dan dalam negeri.

Nor Shamsiah memberitahu, pada 2022, purata inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana apabila kesan asas daripada inflasi bahan api luput.

Jelasnya, inflasi teras dijangka meningkat sedikit apabila kegiatan ekonomi kembali normal berikutan persekitaran kos input yang tinggi.

“Namun begitu, inflasi teras dijangka sederhana dengan risiko inflasi menjadi semakin tinggi dibendung oleh keadaan lebihan kapasiti dalam ekonomi dan pasaran pekerja.

“Bagaimanapun, prospek ini terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global berikutan risiko daripada gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan,” katanya.

Menjawab satu soalan, Nor Shamsiah berkata, negara tidak mungkin berdepan situasi dipanggil hiper inflasi mengambil kira pertumbuhan ekonomi serta faktor permintaan dan bekalan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN