CBP sasar aset lebih RM7 bilion, tambah cawangan - Utusan Malaysia

CBP sasar aset lebih RM7 bilion, tambah cawangan

ZAZALI Haron (tengah) menandatangani plaque Intergriti CBP pada Majlis Ikrar dan Pengukuhan Intergriti Anggota Lembaga Pengurusan dan Warga Kerja Co-op Bank Pertama di Hotel Zenith di Putrajaya semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Optimis dengan trend ekonomi positif tahun ini, Co-opbank Pertama (CBP) berhasrat memperluaskan pelbagai produk selain menambah sehingga 10 cawangan baharu.

Keyakinan itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairil Anuar Mohamad Anuar yang juga menyasarkan aset keseluruhan koperasi premier itu melebihi RM7 bilion sepanjang 2022.

“Kami gembira dengan prospek pertumbuhan semasa tahun ini dan berdasarkan prestasi tahun lalu, aset kami mampu melepasi RM6.1 bilion di sebalik pelbagai isu kekangan,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah CBP disertai 60 pegawai kanan dan disaksikan di hadapan Pengerusinya, Datuk Baharom Embi di sini, semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Zazali Haron dan juga wakil dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Ahmad.

Mengulas lanjut, Khairil Anuar berkata, skim Ar-Rahnu atau pajak gadai berasaskan syarak ditawarkan CBP ketika ini menyumbang lebih 30 peratus daripada keseluruhan perolehannya.

“Pada bulan lalu sahaja, skim ini berjaya melepasi sasaran ditetapkan iaitu RM36 juta daripada RM180 juta pendapatan keseluruhan dan ia petanda baik bagi perkhidmatan itu,” jelasnya.

Beliau turut merujuk aset perbendaharaan CBP yang meliputi jumlah simpanan tunai dan imbangannya, pada ketika ini sudah pun merekodkan nilai sebanyak RM860 juta sebelum diaudit.

Justeru ujarnya, dengan mengambil kira unjuran ekonomi domestik yang mulai kukuh selaras trend pemulihan semasa, beliau menjangka aset itu mampu mencapai RM1.2 bilion tahun ini.

Ditanya perancangan masa depan CBP, Khairil Anuar berkata, mereka sudah merangka draf jangka panjang lima tahun dengan sasaran perolehan mencecah lebih RM360 juta setiap tahun.

Jumlah ditetapkan itu kemungkinan besar boleh bertambah kerana angka ini tidak mengambil kira pertambahan sehingga 10 cawangan baharu CBP akan dibuka dalam masa dua tahun.

“Dari segi prestasi nisbah petunjuk, kami adalah lebih baik berbanding banyak bank sedia ada bahkan institusi perbankan lain pun menjadikan CBP sebagai tanda aras rujukan,” katanya.

Khairil Anuar turut percaya dan yakin, CBP tidak akan menghampakan anggotanya terutama isu pengagihan dividen tahunan yang merekodkan lebih enam peratus sejak lima tahun lalu,  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN