BMW R18 - Jentera pengimbau sejarah motosikal - Utusan Malaysia

BMW R18 – Jentera pengimbau sejarah motosikal

R18 terbukti hebat ketika menaiki dan menuruni laluan berbukit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANDA tidak salah jika menjangkakan bahawa BMW kini cuba memasarkan sebuah kategori atau model motosikal baharu untuk pasaran dunia apabila memperkenalkan model BMW R18 pada 2020.

Kenapa tidak? Sedangkan HARLEY-DAVIDSONS, sebuah jenama dari Amerika Syarikat yang begitu sinonim dengan jentera ‘cruiser’ atau ‘chopper’ selama lebih 100 tahun, kini telah mula memasarkan jentera “Adventure” atau “Dual Purpose” yang boleh digunakan sama ada di jalan raya atau pun di jalan-jalan tidak berturap.

Sedangkan dunia sudah pun mengiktiraf BMW sebagai pemangkin atau ‘Raja’ dalam kategori motosikal “Adventure” atau Dwi-Guna (Dual Purpose), tetapi kini ingin menceburkan diri dalam kategori ‘cruiser’ pula?

Hakikatnya, BMW yang pada asalnya sebuah syarikat yang membuat enjin kapal terbang seawal 1916 sudah mula menghasilkan motosikal pada 1923, dan model pertama yang dihasilkan adalah R32, menggunakan enjin “Flat-Twin Boxer”, yang menampakkan kepala silindernya tersembul keluar secara mendatar di kiri dan kanan enjinnya.

Tahun-tahun berikutnya muncullah motosikal-motosikal berjenama lain, tetapi mempunyai rupa bentuk fizikal yang hampir serupa. Maka dengan ertikata lain, BMW juga sebenarnya adalah pemangkin atau pencetus penghasilan motosikal sejak berkurun lamanya.

BMW R18 sebenarnya membawa para pencinta motosikal kembali kepada model-model klasik yang sebenarnya telah dihasilkan oleh BMW sendiri. Jika dibandingkan foto BMW R32 atau R16 yang telah wujud sejak 1923 hingga 1930, ia jelas mempunyai persamaan dengan BMW R18 yang diperkenalkan kepada dunia pada 2020.  Untuk pasaran Malaysia, BMW Motorrad Malaysia juga telah memperkenalkan kepada para wartawan tempatan, namun akibat covid, ia seolah terpendam untuk dua tahun kebelakangan ini.

Sehubungan itu, BMW Motorrad Malaysia menjemput wakil media tempatan untuk menunggang sendiri jentera R18 ini dengan melalui jalan-jalan raya pelbagai bentuk, sama ada lebuh raya atau jalan raya-jalan raya Persekutuan yang mendaki bukit peranginan seperti Cameron Highlands serta ke Pulau Pinang dengan melalui jalan raya sesak di tengah-tengah bandar George Town dan Balik Pulau.

PENAMPILAN JENTERA

BMW R18 tidak salah lagi adalah sebuah jentera ‘Cruiser’ – mengetengahkan pelana yang rendah, jarak antara roda panjang, handle atau ‘stang’ mengepak serta tayar yang lebar di depan dan belakang.  Tangki bahan api menampilkan konsep “titisan air mata” atau teardrop berupaya memuatkan 16 liter petrol dan berkapasiti enjin 1802cc.

R18 sedikit memberi kegusaran kepada saya apabila kepala blok enjinnya yang ‘tersembul’ kiri dan kanan dan terletak betul-betul di hadapan pemijak kaki. Saya membayangkan kedudukan kepala blok enjin ini akan menyebabkan kaki jadi lenguh akibat tidak dapat mengalihkan kedudukan ketika dalam penunggangan jarak jauh. Saya juga membayangkan kedua-dua kaki akan menderita panas akibat kedudukannya yang terlalu hampir dengan blok enjin ‘boxer’nya.  Ia mungkin disebabkan saya terlalu biasa dengan posisi menunggang sebuah ‘cruiser’ yang sering dipandu uji, iaitu mempunyai kedudukan kaki melunjur ke hadapan.

Sepasang ekzos yang juga menarik perhatian sesiapa yang memandang R18 ini, ternyata menjangkakan bentuk rupa “ikan parang” ini sudah tentunya bakal memekakkan telinga mereka yang berada di sekitarnya.  Dipadankan pula dengan skim warna tangki bahan api dan casis R18 ini yang berwarna hitam berkilat, ekzos ‘ikan parang’ ini berkilat dengan kemasan krom dan menghiasi kiri dan kanan motosikal ini.

Meter tunggal yang terdapat di tengah-tengah handle ini meneruskan konsep klasiknya namun begitu, ia bukan sahaja mempamerkan jarum dan nombor-nombor kelajuan yang analog, meter ini juga didatangkan dengan paparan digital yang ringkas seperti mod enjin, kedudukan gear atau suhu enjin.  Saya diberitahu paparan digital ini boleh ditukar informasi yang dipamerkan seperti RPM, paras bahan api, namun saya terlupa untuk mencubanya kerana paparan bahagian digital tersebut agak berada di kedudukan yang agak memerlukan sedikit konsentrasi merenungnya, sedangkan saya lebih menumpukan perhatian pada keadaan jalan raya di hadapan.

Lampu hadapannya juga berbentuk bulat dan klasik, namun satu jaluran LED ditengah-tengahnya serta lampu belakang yang selalunya terletak di tengah-tengah penghadang lumpur (mudguard) belakang, tetapi R18 ini menggunakan sepasang lampu yang selalunya kita kenali sebagai lampu isyarat. Sepasang lampu seperti lampu isyarat ini berwarna merah, bertindak balas ketika penunggangnya membrek dengan menampilkan pencahayaan yang lebih terang, dan mempunyai lampu isyarat kuning di tengah lampu tersebut sekiranya penunggang menggunakan suis isyarat ke kiri dan ke kanan.

Satu lagi penampilan fizikal BMW R18 ini yang sudah tentunya menarik perhatian ialah batang shaf pemacu yang terbuka (open concept drive shaft), bagi menggantikan rantai atau tali sawat seperti motor-motor ‘cruiser’ konvensional yang lain. Konsep shaf terbuka ini, adalah sebagai memperingati model-model terawal penghasilan BMW.

LAMPU hadapan BMW R18.

PENUNGGANGAN

Dari satu segi, menunggang BMW R18 saling tak tumpah ibarat menunggang mana-mana ‘cruiser’ yang ada dalam pasaran. Kedudukan menunggangnya yang rendah, kedudukan kedua-dua kaki yang agak terbuka dan bar handel yang agak mendepa dan jauh ke hadapan. Tanpa kunci menghidupkan enjin yang konvensional, kunci elektronik cukup dengan hanya diletakkan dalam poket, membolehkan R18 anda dihidupkan dengan hanya menekan tombol suis di handel.  Gegaran/goncangan yang menjadi ‘trademark’ enjin boxer BMW ketika dihidupkan mampu membuat seseorang itu teruja dan sedikit panik pada awalnya. Namun, selepas 2-3 kali goncangan, deruman enjinnya agak lembut dan tidak ubah seperti bunyi dengusan kucing. Ekzos “ikan parang” kembar ini, nampaknya tidak melanggar undang-undang tahap pencemaran bunyi oleh Jabatan Alam Sekitar kerana bunyi yang keluar daripadanya adalah sungguh merdu dan lembut.

Sudah tentu, kedudukan blok enjin R18 ini tidak berupaya diselindungi dan pada awalnya memberikan kebimbangan akan kemungkinan saya menderita kepanasan pada bahagian keting dan kaki.  Ternyata, kata orang, tak kenal maka tak cinta, saya tidak langsung mengalami sebarang kecederaan, kulit terbakar, atau kasut but saya mencair atau rosak akibat kedudukan blok enjin boxer R18 ini.  Sirip-sirip angin pada kepala blok enjin membolehkan ianya menyejukkan enjin ketika penunggang dalam kelajuan tinggi. Hanya ketika kami terpaksa melalui pekan-pekan kecil atau tersangkut dalam keadaan jalan sesak, ada sedikit rasa panas pada kaki yang terletak betul-betul di belakang kepala blok enjin tersebut, namun ianya hilang dengan sekelip mata apabila motosikal mula meluncur kembali.

Kedudukan pelana dan pemijak kaki tidak pula menyebabkan saya terasa lenguh atau sakit. Walaupun pemijak kaki edisi standard ini tidak membolehkan saya mengalihkan kedudukan kaki, ianya tidak pula mendatangkan ketidak selesaan di kedudukan tersebut. Walau kebanyakan cruiser berjenama lain mempunyai opsyen untuk pemijak kaki di kedudukan yang biasa atau kedudukan melunjur (forward controls footpegs). BMW R18 ini menjangkakan kedudukan pemijak kakinya tidak akan mendatangkan sebarang masalah walau apa pun ukuran ketinggian penunggangnya.  Ini mungkin kerana R18 ini didatangkan dengan opsyen ketinggian pelana yang boleh laras.

R18 ini juga sudah tentu tidak dicipta untuk meleper di selekoh-selekoh seperti sebuah motosikal sports, namun jangan disangka ianya tidak mampu bergerak dengan laju dalam selekoh-selekoh tersebut.  Mengubah sedikit teknik penunggangan ketika memasuki selekoh, dan tujahan keluar selekoh adalah sangat mengujakan kerana kuasa enjin 1800cc ini sangat kuat walaupun pada kedudukan gear tinggi seperti gear 4 atau 5.  Namun begitu, keseronokkan melayan kuasa enjinnya agak sedikit terganggu apabila pemijak kaki akan mula terseret pada permukaan jalan.  Kedudukan pemijak kakinya adalah agak rendah, akan tetapi inilah norma motor-motor cruiser.

Menunggang atas lebuh raya pula, R18 edisi pertama ini, tidak didatangkan dengan skrin pelindung angin.  Oleh itu, kelajuan melebihi 140km/j tidak lagi menyeronokkan apabila penunggang harus bertarung dengan tujahan angin dari hadapan. Begitu juga ketika berlakunya hujan sewaktu dalam perjalanan, bersiap sedialah untuk menerima tusukan-tusukan hujan atau serangga-serangga yang mungkin adalah hari malang baginya untuk melintas di laluan anda.

Satu lagi kelemahan ketara bagi jentera ini ialah pelananya yang agak keras.  Saya dapati punggung mulai sakit atau kebas tak sampai sejam menunggang.  Mungkin ini adalah antara strategi BMW untuk membuat para pemiliknya mendapatkan aksesori-aksesori yang sedia ada dijual.  Mungkin juga R18 ini bukan dicipta untuk penunggangan jarak jauh, ia lebih kepada penunggangan santai jarak sederhana.

Suspensi hadapan BMW R18 ini, sekiranya ingin dirumus secara am, adalah baik. Terutama sekali ketika melalui jalan raya Persekutuan. Mungkin turut dibantu dengan saiz tayar yang besar (120/70) dan rim sebesar 19 inci, pengendaliannya menjadi agak baik.  Sungguhpun begitu, suspensi belakang yang agak pendek dan keras, seolah-olah R18 ini tidak didatangkan langsung dengan penyerap hentakan belakang, sedikit sebanyak mengurangkan keseronokkan menunggangnya.  Ada ketika terpaksa melalui jalan raya yang berlubang atau mempunyai lekuk-lekuk mendapan di permukaan jalan, ternyata tulang belakang akan menderita olehnya, walau pun telah dibantu serap oleh roda belakang yang sungguh lebar bersaiz 16 inci dan tayar 180/65.

KESIMPULAN

Tiada motosikal yang sempurna.  Namun kelebihan berbanding kelemahan perlu lebih ketara untuk penunggangnya pulang dengan kenangan indah.  BMW R18 ini, disebalik beberapa kelemahan ketaranya, ianya adalah sebuah motosikal yang mengagumkan, menyerlahkan keseronokan menunggang dan memberi ertikata kebebasan berada atas jalan raya untuk tunggangan santai dan bersahaja.

BMW R18 ini, santai, rileks dan menuju destinasi mengikut masa dan potensi anda sendiri menjadi tema utama untuk peminat dan bakal pemiliknya.  Harga pasaran BMW R18 edisi pertama ini ketika dilancarkan pada 2020 yang lalu adalah sekitar RM149,500 tanpa cukai jalan, insurans dan kos pendaftaran.

INFO BMW R18 First Edition

» Pembuat: BMW Motorrad
» Tahun produksi: 2020
» Jenis: Cruiser
» Enjin: 1,802 Cc (110.0 Cu In) “Boxer” 2 Slinder
» Gerek x lejang: 107.1 mm × 100 Mm (4.22 In × 3.94 In)
» Nisbah mampatan: 9.6 :1
» Kelajuan tertinggi: Melebihi 179 Km/J
» Kuasa: 90 Hp (67 Kw) @ 4,750 Rpm[1]
» Tork: 158 N m @ 3,000 Rpm
» Transmisi: Klac Kering, 6-Kelajuan, Pacuan Shaf – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN