PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) sedang memantau rapi langkah-langkah yang diambil oleh CIMB Bank Berhad (CIMB) untuk mendapatkan semula lebihan amaun yang dikreditkan kepada pelanggan mereka.
Menurut BNM, hal itu berkaitan dengan kesilapan pemprosesan yang dikesan oleh CIMB baru-baru ini.
Jelasnya, CIMB sedang dalam proses menghubungi setiap pelanggan yang terjejas bagi mengelakkan pelanggan mengalami sebarang gangguan untuk mengakses akaun mereka.
“CIMB dikehendaki memastikan proses mendapatkan semula amaun yang bukan milik pelanggan tersebut tidak akan mengakibatkan beban kewangan luar jangka kepada pelanggan yang tidak sedar akan kesilapan pemprosesan itu. CIMB akan membincangkan pengaturan pemulihan dengan setiap pelanggan,” jelasnya dalam kenyataan.
BNM berkata, pelanggan terjejas yang telah menerima notis daripada CIMB mengenai insiden itu dinasihati supaya menghubungi CIMB bagi memastikan akaun mereka terus dapat diakses dengan lancar.
“Siasatan tentang insiden ini sedang dijalankan. BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang sewajarnya, jika perlu,” jelasnya.
Dalam kejadian baru-baru ini, kira-kira 11,000 akaun pelanggan CIMB Bank dilaporkan telah dibekukan secara mengejut berikutan masalah teknikal membabitkan kesilapan memasukkan wang berganda ke dalam akaun mereka.
Menurut khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima pengguna terkesan, CIMB memaklumkan terdapat kesilatan memasukkan wang berganda ke dalam akaun mereka dikatakan mencecah ratusan ribu ringgit, dan akaun terlibat akan dipotong mulai 2 Februari.
CIMB dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya berhubung dengan pelanggan terkesan untuk memastikan penyelesaian yang adil dan terurus. Malah pelanggan terjejas juga boleh menghubungi pihak bank untuk perbincangan dan penjelasan lanjut. – UTUSAN










