AirAsia dapat pengiktirafan tujuh bintang - Utusan Malaysia

AirAsia dapat pengiktirafan tujuh bintang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat penerbangan di bawah AirAsia Aviation Limited sekali lagi diiktiraf dengan tahap keselamatan dan integriti operasi tertinggi dengan penilaian 7/7 daripada pakar keselamatan industri penerbangan di airlineratings.com.

Penilaian serupa juga telah dianugerahkan kepada kumpulan syarikat penerbangan itu semasa kemuncak pandemik pada 2020.

AirAsia Aviation Limited adalah anak syarikat Capital A Berhad (dahulunya dikenali sebagai AirAsia Group Berhad).

Menurut AirAsia, AirAsia Malaysia, Thailand, dan Filipina menerima pengiktirafan tersebut berikutan rancangan mitigasi Covid-19 yang kukuh dan komprehensif melalui pengumuman yang dibuat oleh airlineratings.com pada 5 Februari lalu.

“Semalam, IirAsia juga telah dinamakan sebagai satu daripada 20 syarikat penerbangan tambang rendah paling selamat bagi 2022 oleh pakar penerbangan yang sama di airlineratings.com.

“Kumpulan syarikat penerbangan ini juga antara yang pertama mencapai penarafan keselamatan Covid tertinggi daripada airlineratings.com pada 2020 dengan pelaksanaan pelbagai inovasi industri yang menjadikan pengalaman perjalanan lebih lancar dan selamat dalam dunia baharu perjalanan udara,” jelasnya dalam kenyataan.

Mengulas perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Limited, Bo Lingam berkata, keselamatan adalah faktor utama untuk perjalanan udara dan kini ia amat penting kerana manusia sudah mula hidup dengan virus tersebut.

“Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan kami. Kami berbangga untuk memastikan syarikat penerbangan dalam kumpulan ini mencapai akreditasi oleh Audit Keselamatan Operasi (IOSA) yang merupakan penanda aras global untuk mengekalkan standard keselamatan tertinggi pada setiap masa.

“Semua pesawat kami diselenggara mengikut piawaian kejuruteraan paling ketat seperti yang ditetapkan oleh syarikat pengeluar pesawat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN