PETALING JAYA: AEON Co. (M) Bhd. (AEON) dan cabang tanggungjawab korporatnya, Yayasan AEON Malaysia bersama 8TV melancarkan jualan amal dalam talian untuk berkongsi kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) dengan orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas.
Menurut AEON, jualan amal dalam talian itu yang dihoskan oleh deejay selebriti, KK Wong serta disokong oleh 8TV untuk publisiti dan promosi, berjaya mengumpul RM25,778.00.
Jelasnya, sebanyak RM20,000.00 pertama hasil daripada jualan amal tersebut, Yayasan AEON Malaysia telah padankan ringgit untuk ringgit yang menjadikan jumlah keseluruhan RM45,778.00.
“Dana yang dikumpul tersebut digunakan bagi membeli barangan keperluan untuk dua rumah kebajikan iaitu Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim & OKU Mesra di Petaling Jaya, dan Rumah Orang Tua Seri Kembangan di Seri Kembangan,” katanya dalam kenyataan.
Timbalan Pengarah Urusan AEON, Tsutomu Motomura yang menyampaikan sumbangan berkata, projek itu dijalankan dengan jayanya hasil kesungguhan dan keazaman tinggi daripada pasukan 8TV, AEON Warriors dan rakan-rakan AEON, dengan sokongan Yayasan AEON Malaysia dan para pelanggan.
“Kami sangat berterima kasih kepada para pelanggan AEON yang menyokong penuh projek amal ini menerusi pembelian dalam talian.
“Ia adalah sebahagian daripada kemampanan sosial yang dilakukan atas dasar keprihatinan terhadap komuniti, bagi memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan dalam menyambut Tahun Baharu Cina,” katanya.
Sementara itu, Presiden Yayasan AEON Malaysia, Datin Noryahwati Mohd. Noh pula bersyukur kerana AEON dapat berkongsi kegembiraan sambutan Tahun Baharu Cina bersama kawan-kawan di Rumah Orang Tua Seri
Kembangan.
“Kami berharap hasil daripada kolaborasi inisiatif sosial yang kami kongsikan akan dapat membantu mengurangkan kos operasi rumah ini,” katanya. – UTUSAN










