UNI-MLC gesa kerajaan nyata pendirian isu kadar pencen - Utusan Malaysia

UNI-MLC gesa kerajaan nyata pendirian isu kadar pencen

Jemaah Menteri telah memberi mandat untuk Malaysia meratifikasi RCEP. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menggesa kerajaan untuk menyatakan pendirian berhubung keputusan Mahkamah Rayuan membatalkan kenaikan tahunan dua peratus ke atas pencen.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, keputusan pada 13 Januari itu juga menetapkan untuk mengembalikan semula peruntukan pencen terdahulu yang diselaraskan seiring dengan sebarang semakan gaji.

Kata beliau, kerajaan perlu memaklumkan pendiriannya ekoran keputusan tersebut yang dilihat sebagai sesuatu yang mengejutkan dan luar biasa dalam landskap buruh serta pekerjaan di negara ini.

“Sebagai sebuah badan kesatuan sekerja yang terus memperjuangkan kadar pencen yang dinamik, adil dan relevan mengikut keadaan semasa, UNI-MLC berharap kerajaan dengan segera akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi ekorang keputusan Mahkamah Rayuan pada minggu lalu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Jelas Mohamed Shafie, kerajaan telah membayar kenaikan tahunan dua peratus sejak peruntukan baharu itu dikuatkuasakan pada 2013.

Hal tersebut menimbulkan persoalan sama ada kerajaan akan mengkaji semula kadar dua peratus itu dan akan datang dengan kadar baharu atau kenaikan dua peratus yang sedang dikuatkuasakan akan dihentikan serta-merta.

“Jika ia dihentikan serta-merta, apakah impak ke atas para pesara?

“UNI-MLC mendapati majoriti pesara turut terkejut dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu dan berada dalam keadaan dilema sama ada kadar pencen mereka akan terjejas dan kemungkinan akan ditarik balik,” katanya.

Panel Mahkamah Rayuan pada 13 Januari lalu menyampaikan keputusan sebulat suara yang antara lain memutuskan perisytiharan bahawa Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 adalah tidak sah kerana melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan; satu pengisytiharan bahawa Seksyen 3 dan 6 Akta Pelarasan Pencen 1980 sebagaimana dipinda oleh Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (pindaan) 2013 berkuat kuasa sejak 1 Januari 2013 adalah tidak sah kerana melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan dan perintah perisytiharan itu berkuat kuasa secara prospektif mulai 13 Januari 2022.

Menurut Mohamed Shafie, UNI-MLC juga ingin tahu sama ada kerajaan akan membuat rayuan berhubung keputusan tersebut.

“Sementara banyak isu timbul dan dibangkitkan ekoran keputusan Mahkamah Rayuan, maka adalah wajar kerajaan mengeluarkan satu pandangan bagi menjelaskan isu ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN