Tok Bali pertumbuhan baharu - Utusan Malaysia

Tok Bali pertumbuhan baharu

TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz diberi penerangan mengenai projek pembangunan di Tok Bali.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Potensi kawasan Tok Bali sebagai pusat pertumbuhan baharu di Kelantan akan dipertingkatkan berikutan pengumuman insentif cukai khas oleh Kementerian Kewangan untuk negeri Kelantan baru-baru ini.

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berkata, menerusi insentif cukai khas ini, para pelabur akan dapat menikmati pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus selama 15 tahun dan cukai pendapatan pada kadar istimewa 17 peratus untuk lima tahun berikutnya.

“Sebagai insentif tambahan, individu pemastautin bukan warganegara yang memegang jawatan pengurusan kanan bagi syarikat yang diluluskan insentif hanya akan dikenakan kadar cukai rata sebanyak 15 peratus untuk meningkatkan daya saing Kelantan sebagai destinasi pelaburan,” katanya dalam kenyataan.

ECERDC berkata, pembangunan kawasan Tok Bali akan memberi tumpuan terhadap lima sektor utama iaitu pembuatan, perikanan, minyak dan gas, logistik dan perkhidmatan serta ekopelancongan bagi mempelbagaikan ekonomi di kawasan ini dan meningkatkan daya saing Tok Bali sebagai destinasi pelaburan.

“Langkah ini seterusnya akan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi serta membuka peluang-peluang keusahawanan kepada masyarakat setempat,” tambahnya.

Sementara itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Kerajaan Persekutuan yakin insentif cukai khas yang dilaksanakan melalui ECERDC akan merancakkan transformasi ekonomi negeri ini.

“Pada masa yang sama, projek pembangunan infrastruktur dan kesalinghubungan di kawasan berhampiran seperti Jalan Central Spine dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga dapat meningkatkan tarikan pelaburan terutamanya ke kawasan Tok Bali,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Tok Bali sempena Jelajah Bajet 2022 di Kelantan.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, Tok Bali disasarkan menjadi pusat pertumbuhan baharu di Kelantan dan menerusi insentif cukai khas serta projek-projek berimpak tinggi di kawasan itu antaranya Taman Industri Tok Bali (TBIP), Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) dan infrastruktur luaran bagi Pelabuhan Tok Bali yang sedang dilaksanakan oleh ECERDC.

“Kami yakin bahawa usaha ini dapat menyumbang ke arah mencapai sasaran pelaburan sebanyak RM2.3 bilion. Pelaburan ini dijangka dapat menjana 4,200 peluang pekerjaan baharu dan 270 peluang keusahawanan untuk masyarakat tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN