PETALING JAYA: Perbelanjaan kasar penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara sebanyak RM15 bilion pada 2018 atau 1.04 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), jauh lebih rendah berbanding negara maju.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, negara maju memperuntukan sekitar tiga peratus daripada KDNK mereka untuk bidang R&D.
Sehubungan itu katanya, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan perbelanjaan kasar R&D kepada 2.5 daripada KDNK menjelang 2025.
Kata beliau, sebanyak 70 epratus daripada peruntukan itu dijangka sumbangan daripada sektor swasta dan selebihnya, 30 peratus, daripada sektor awam.
“Ini akan menyokong hasrat Kerajaan untuk meletakkan Malaysia di kedudukan 20 teratas dalam Indeks Inovasi Global,” katanya sempena pelancaran Buku dan Logo Baharu UKM-GSB 2022 di Bangi, semalam.
Turut hadir, Naib Canseor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Ts. Dr. Mohd. Ekhwan Toriman; Dekan UKM, Graduate School of Business (GSB), Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul dan Pengarah Unit Perniagaan Strategik GSB, Prof. Madya Dr. Mohd. Fairuz Md. Salleh.
Mustapa berkata, pelaburan dalam penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) amat penting untuk menyokong pertumbuhan negara.
Kata beliau, pada masa ini, terdapat 44 buah agensi di bawah 10 kementerian yang melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan dengan bidang seperti bioteknologi, teknologi maklumat, pertanian dan lain-lain.
“Walau bagaimanapun, pelaksanaan dan pemantauan aktiviti-aktiviti R&D&C&I ini adalah berdasarkan keutamaan masing-masing tanpa penyelarasan dari aspek penggunaan sumber, sasaran dan mekanisme pemantauan.
“Pemantapan mekanisme kolaborasi diperlukan untuk memantapkan sinergi dalam kalangan penyelidik, pemain industri dan pihak-pihak lain yang berkepentingan,” katanya.
Menurut beliau, bagi mencapai hasrat itu, Unit Pengurusan Penyelidikan (RMU) telah diwujudkan di Unit Perancangan Ekonomi (EPU) berkuat kuasa pada Ogos 2020 untuk menyelaras bidang keutamaan R&D&C&I negara untuk mencapai 50 peratus penyelidikan pembangunan eksperimental menjelang 2025.
“Sehubungan itu, RMU akan tingkatkan libat urus institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan industri,” katanya. – UTUSAN










