Pertumbuhan ekonomi yang perlahan, ‘bebankan’ harga komoditi - Utusan Malaysia

Pertumbuhan ekonomi yang perlahan, ‘bebankan’ harga komoditi

HARGA minyak mentah kembali meningkat selepas merosot pada sesi sebelumnya. – GAMBAR HIASAN/AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Harga minyak Brent di pasaran global semalam berada di paras AS$90.03 (RM377.46) setong naik 0.76 peratus daripada sesi dagangan sebelumnya. West Texas Intermediate (WTI) AS turut menokok 0.24 peratus kepada AS$86.82 (RM363.60) setong.

Pengukuhan berterusan harga komoditi sejak kebelakangan itu didorong oleh permintaan yang berhubung kait dengan krisis bekalan. Bekalan pula banyak dipengaruhi kemelut kepentingan negara anggota OPEC+ dan politik global, terkini Rusia-Ukraine dan Asia Barat.

Apapun, cabaran rantaian bekalan dan inflasi yang lebih tinggi, bakal menyederhanakan pertumbuhan ekonomi global.

Dengan kadar pengembangan tahun lalu dijangka perlahan pada tahun ini dan seterusnya, ia berpotensi mengheret turun permintaan untuk komoditi. Jika permintaan komoditi perlahan, harga boleh mencerminkan ‘kesederhanaan’ dalam ekonomi.

Menurut penganalisis pasaran Reuters, John Kemp, ia boleh berlaku sebelum penghujung 2023 dengan sejarah dalam corak kitaran ekonomi me­nunjukkan, dunia boleh melihat kelembapan dalam pengemba­ngan ekonomi pada tahun depan.

Keadaan itu digabungkan dengan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat dijangka seawal tahun ini, yang boleh menjejaskan pembuatan dan pertumbuhan global selain berpotensi menurunkan permintaan untuk beberapa komoditi.

Ramalan oleh pakar-pakar ekonomi menunjukkan, pertumbuhan ekonomi global lebih perlahan pada 2022 dan 2023 berbanding 2021 apabila ekonomi pulih daripada kemelesetan 2020 untuk mencapai pertumbuhan 5.9 peratus.

“Ekonomi global memasuki 2022 dalam kedudukan yang lebih lemah daripada yang dijangkakan sebelum ini,” kata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam laporan terbaharu Tinjauan Ekonomi Dunia minggu lalu.

Lantaran itu, IMF menyemak semula unjuran pertumbuhan 2022 kepada 4.4 peratus — separuh mata peratusan lebih rendah daripada Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO) yang dibuat pada Oktober.

Menurut IMF, semakan menurun sebahagian besarnya mencerminkan ramalan penurunan harga dalam dua ekonomi terbesar dunia iaitu AS dan China.

Jelasnya, kenaikan harga tenaga dan gangguan bekalan telah mengakibatkan inflasi yang lebih tinggi dan lebih luas daripada yang dijangkakan, terutamanya di AS dan kebanyakan pasaran sedang pesat membangun serta ekonomi membangun.

“Malah, pemberhentian berterusan sektor hartanah di China dan pemulihan penggunaan swasta yang lebih perlahan daripada jangkaan juga mempunyai prospek pertumbuhan yang terhad,” jelasnya.

Badan dunia itu mengunjurkan, pertumbuhan ekonomi global dijangka perlahan kepada 3.8 peratus pada 2023. Walau bagaimanapun, ia adalah 0.2 mata peratusan lebih tinggi daripada ramalan sebelumnya.

Peningkatan itu secara amnya mencerminkan peningkatan mekanikal selepas hambatan semasa pada pertumbuhan yang ‘hilang’ pada separuh kedua 2022.

Penganalisis ekonomi berpendapat, adalah tidak mengejutkan bahawa ramalan IMF itu ‘bersyarat’ iaitu kebanyakan negara telah mengatasi wabak Covid-19 menjelang akhir 2022, dan tiada kemunculan varian baharu sehingga memerlukan sekatan mobiliti berskala besar dilakukan.

Namun, IMF menjangkakan, inflasi tinggi berterusan untuk tempoh lebih lama dari yang dibayangkan pada WEO Oktober lalu, dengan gangguan rantaian bekalan dan yang tinggi berterusan pada 2022.

Selain itu, kadar faedah yang meningkat, kelembapan dalam pertumbuhan pembuatan dan ekonomi yang menyederhana boleh mengurangkan tekanan harga ke atas komoditi.

Malah, Bank Dunia dalam laporan Prospek Ekonomi Global baru-baru ini turut memberi amaran mengenai pertumbuhan global yang semakin perlahan pada 2022 dan 2023, “apabila permintaan yang terpendam semakin hilang dan sokongan fiskal dan monetari tidak terjejas di seluruh dunia.”

“Perkembangan global eko­nomi makro dan faktor bekalan komoditi berkemungkinan menyebabkan ledakan kitaran yang berterusan dalam pasaran komoditi,” kata Bank Dunia.  – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN