Pekerja asing sektor perladangan dibawa masuk bulan depan - Utusan Malaysia

Pekerja asing sektor perladangan dibawa masuk bulan depan

Kerajaan menguatkuaskan gaji minimun RM1,500 dalam semua sektor mulai hari ini. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan yakin kemasukan ribuan pekerja asing untuk sektor perladangan di seluruh negara bulan depan mampu menangani isu kekurangan bekalan produk minyak sawit.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, ia diharap dapat mengatasi kemerosotan bekalan komoditi itu bagi memenuhi permintaan tinggi dunia.

“Difahamkan, pada tahun lalu negara hanya mampu mengeluarkan sekitar 18 juta tan tetapi dari segi pendapatan melonjak kerana kekurangan itu mengakibatkan harga pula naik,” jelasnya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Semakan dan Tinjauan Ekonomi Minyak Sawit 2022 anjuran kementerian itu di Hotel Marriott di sini, semalam.

Seminar itu turut mendapat kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan sesi ucap tama disampaikan oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Zuraida berkata, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dalam mesyuarat Kabinet semalam mengesahkan kemasukan pekerja asing sektor perladangan dijangka bermula pertengahan Februari setelah memorandum persefahaman (MoU) dimeterai dengan pelbagai negara sumber dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Ujar beliau, pekerja asing terbabit antaranya dari Indonesia, Bangladesh dan selatan Thailand kerana kosnya lebih murah serta berdasarkan pengalaman sebelum ini dalam pembekalan buruh estet.

Jelasnya, kelewatan yang berlaku ketika ini disebabkan ada beberapa isu teknikal yang perlu dirundingkan dengan teliti, termasuk soal gaji minimum apabila ada negara pembekal yang mahu ditetap sebanyak RM2,200 sebulan, tetapi ia memerlukan persetujuan daripada pihak industri.

“Kalau mereka bersetuju sama dengan upah minimum pekerja Malaysia iaitu setakat RM1,500 sebulan, kita tiada masalah asalkan semua pihak berkaitan dapat faedah bersama,” katanya.

Zuraida berkata, setakat ini Indonesia dijangka bersetuju menghantar rakyat mereka untuk bekerja di ladang kelapa sawit, namun perlu dilihat semula MoU melibatkan pembantu rumah.

Beliau memberi jaminan, isu kemelut pekerja ladang yang amat kritikal dapat ditangani antara kerajaan-ke-kerajaan (G2G) selain mendapat input daripada pelbagai pihak pemegang taruh.

Jelasnya, masalah itu agak rumit kerana selain isu gaji, turut diambil kira soal kebajikan pekerja khasnya penempatan asrama dan kemudahan sampingan lain.

Dalam pada itu, kementerian optimis negara mampu mencapai sasaran pendapatan eksport produk minyak sawit melepasi RM100 bilion tahun ini.

Zuraida berkata, walaupun ada pelbagai cabaran terutama kekurangan buruh dan isu wabak, eksport produk komoditi itu melonjak kepada RM95.76 bilion pada 2021.

“Ini menunjukkan peningkatan berlaku hampir 48 peratus berbanding tempoh sama pada 2020 cuma RM64.85 bilion dan untuk tahun ini tidak mustahil boleh cecah RM100 bilion,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN