LONDON: Syarikat induk Facebook, Meta Platforms Inc. mengumumkan pasukan penyelidiknya telah membina superkomputer kecerdasan buatan (AI) baharu yang didakwa akan menjadi yang terpantas di dunia apabila siap pada pertengahan tahun ini.
Menurut catatan blog Meta, AI Research SuperCluster (RSC) baharunya akan membantu syarikat membina model AI lebih baik yang boleh mempelajari sehingga trilion contoh, bekerja merentas ratusan bahasa dan menganalisis teks, imej dan video bersama-sama untuk menentukan sama ada kandungan selamat atau memudaratkan.
“Penyelidikan ini bukan sahaja membantu memastikan pengguna perkhidmatan kami sentiasa selamat pada hari ini, tetapi juga pada masa hadapan, di kala kami membina metaverse,” kata syarikat itu dalam catatan blog berkenaan.
Syarikat media sosial itu menukar namanya pada Oktober kepada Meta bagi mencerminkan tumpuannya pada metaverse yang diramal bakal menjadi pengganti kepada internet mudah alih.
Metaverse, istilah luas yang telah menghasilkan banyak Silicon Valley buzz dalam beberapa bulan kebelakangan ini, merujuk kepada idea perkongsian persekitaran maya yang boleh diakses oleh orang ramai melalui peranti berbeza di tempat mereka boleh bekerja, bermain dan bersosial.
“Pengalaman yang kami bina untuk metaverse memerlukan kuasa pengiraan yang besar (berjuta-juta operasi persaat) dan RSC akan membolehkan model AI baharu yang boleh belajar daripada bertrilion contoh, memahami ratusan bahasa dan banyak lagi,” tulis Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg dalam catatan Facebook pada Isnin.
Meta percaya RSC kini adalah antara superkomputer AI terpantas yang sedang dalam pembuatan.
Jurucakap Meta berkata, syarikat itu telah bekerjasama dengan pasukan dari Nvidia Corp., Pure Storage Inc. dan Penguin Computing Inc. untuk membina superkomputer itu. – AGENSI










