Malaysia mula kuatkuasa RCEP 18 Mac 2022 - Utusan Malaysia

Malaysia mula kuatkuasa RCEP 18 Mac 2022

MALAYSIA dikatakan bakal menerima manfaat terbesar dalam kalangan negara ASEAN apabila menyertai RCEP yang akan dikuatkuasakan bermula 18 Mac 2022. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia telah menyerahkan surat cara ratifikasi (IOR) Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) kepada Sekretariat ASEAN pada 17 Januari lalu.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), penyerahan IOR itu dibuat menerusi mandat yang diberikan oleh Jemaah Menteri pada 12 Januari untuk Malaysia meratifikasi perjanjian tersebut.

“Selaras dengan Artikel 20.6 Perjanjian RCEP yang memperuntukkan bahawa Perjanjian ini akan berkuat kuasa selepas 60 hari surat cara ratifikasi diserahkan kepada Sekretariat ASEAN selaku Depositary Perjanjian RCEP, Malaysia akan mula menguatkuasakan Perjanjian ini pada 18 Mac 2022.

“Dengan penyerahan surat cara ratifikasi kepada Sekretariat ASEAN, Malaysia akan menyer­tai 11 negara penandatangan lain yang telah melengkapkan proses ratifikasi iaitu Singapura, China, Jepun, Brunei, Kemboja, Laos, Thailand, Vietnam, Australia, New Zealand dan Korea Selatan,” katanya dalam kenya­taan.

MITI berkata, RCEP merupakan Perjanjian Perdagangan Bebas terbesar di dunia yang meliputi 15 negara dengan 2.2 bilion atau hampir satu pertiga (29.5 peratus) penduduk dunia, mewakili AS$25.8 trilion (RM atau 29.4 peratus KDNK dunia, berdasarkan Data Bank Dunia 2019.

Jelasnya, adalah penting untuk melihat pelaksanaan Perjanjian RCEP sebagai bukti kukuh usaha kerajaan bukan sahaja untuk mendokong sistem perdagangan pelbagai hala malah untuk mengukuhkan integrasi ekonomi serantau dan menyokong agenda pembangunan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Tambah MITI, menurut laporan UNCTAD yang diterbitkan pada 15 Disember 2021, di kala­ngan negara anggota ASEAN, Malaysia dijangka menerima manfaat terbesar perjanjian itu dari segi eksport, dengan unjuran nilai peningkatan eksport sebanyak
Sejumlah AS$200 juta (RM837 juta) hasil daripada penghapusan dan pengurangan tarif untuk barangan dagangan, penambaikan kemudahan eksport dan import barangan di kalangan negara anggota.

“Di samping itu, penyedia perkhidmatan termasuk e-dagang akan dapat menikmati akses pasaran yang lebih besar menerusi peningkatan bekalan rentas sempadan serta menggalak­kan keberadaan dan penglibatan mereka di pasaran RCEP,” tambahnya.

MITI berkata, RCEP akan menjadi penggerak utama untuk Malaysia dalam usaha mencerdaskan semula aktiviti perniagaan dalam negara dan antarabangsa bagi pemulihan ekonomi negara pasca pandemik.

Justeru katanya, komuniti perniagaan sama ada di kala­ngan pengusaha-pengusaha kecil atau besar digalakkan untuk memanfaatkan peluang-peluang perniagaan dan pelaburan serta meningkatkan penyertaan mereka dalam rantaian nilai serantau dan global yang ditawarkan oleh perjanjian perdagangan mega ini.

“Sebagai sebuah negara perdagangan, Malaysia akan terus meng­amalkan pendekatan eko­nomi terbuka dengan dasar mes­ra perniagaan dan pragmatik bagi terus memupuk iklim per­dagangan dan pelaburan yang kondusif di negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN