RIYADH: Arab Saudi bersedia untuk mengambil peranan utama dalam industri e-sukan kerana penggunaan diunjurkan mencecah AS$6.8 bilion (RM28.57 bilion) menjelang 2030, meningkat daripada AS$959 juta (RM4.03 bilion) pada 2020, menurut laporan Boston Consulting Group.
Laporan itu menjangkakan purata kadar pertumbuhan kompaun tahunan sebanyak 22 peratus untuk penggunaan e-sukan di negara ini.
“Walaupun Arab Saudi menjadi peserta yang agak baharu dalam bidang ini, namun industri berkembang pesat dan rancak.
“Pemain ghairah terutamanya untuk memperkasakan pertumbuhan dan popularitinya pada masa ini, dan berkemungkinan untuk mereka memulakan kerjaya sepenuh masa dan terlibat di pentas antarabangsa,” ” kata Povilas Joniskis, rakan kongsi di BCG.
Arab Saudi mempunyai 23.5 juta peminat dalam industri e-sukan, mewakili 67 peratus daripada penduduk negara itu, menurut laporan berkenaan.
Bagaimanapun, di sebalik potensi pertumbuhan, cabaran menanti untuk industri berkenaan kerana landskap berada di peringkat pembangunan awal berbanding pasaran antarabangsa yang lain.
Menurut laporan itu, antara halangan utama kepada industri ialah kekurangan dana dan kurangnya persaingan tempatan.
Selain itu, tiada laluan yang jelas untuk pemain menjadi profesional, dan stigma sosial yang dikaitkan dengan memilih kerjaya dalam industri berkenaan. – AGENSI










