PETALING JAYA: Harga sawit dijangka berada di paras memuaskan sepanjang tahun ini, sekali gus menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pertumbuhan ekonomi negara.
Penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, peningkatan harga sawit turut memberi khabar gembira kepada peneroka, dengan harga yang antara tertinggi dalam sejarah.
Ujarnya, ini secara tidak langsung dapat meningkatkan sosioekonomi peneroka dan penanam sawit.
“Harga sawit dijangka akan mengalami penyesuaian, seawalnya pada suku kedua 2022 akibat penawaran yang bertambah dan beberapa faktor lain, sebelum mengalami sedikit penyusutan.
“Kenaikan atau peningkatan harga ini turut disumbang oleh masalah yang dihadapi oleh pesaing, contohnya ekstrak soya yang dikhabarkan menghadapi masalah tenaga, pengekstrakan dan penghancuran.
“Namun, secara umumnya, ia akan berada di paras yang boleh dikategorikan sebagai memuaskan sepanjang tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Terdahulu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melaporkan prospek yang lebih cerah dijangkakan untuk industri minyak sawit pada 2022 dengan harga purata minyak sawit mentah (MSM) dijangka sekitar RM3,800 satu tan.
Unjuran purata harga MSM sekitar RM3,800 satu tan itu adalah berikutan pengeluaran minyak sawit yang bertambah baik, sejajar dengan prestasi minyak sayuran utama lain yang mencatat pemulihan pengeluaran dan stok.
Selain itu, eksport turut meningkat 9.3 peratus kepada 17 juta tan pada tahun ini berbanding 15.56 juta tan tahun lalu, namun pendapatan eksport dijangka susut kepada RM95 bilion berbanding RM106.50 bilion.
Mengulas lanjut, Baharom memaklumkan, kenaikan berterusan harga sawit sejak tahun lalu disumbang oleh pelbagai perkara antaranya pengeluaran atau penawaran yang masih terhad memaksa kenaikan harga berikutan permintaan yang memberangsangkan akibat pembukaan kembali ekonomi.
“Percaturan awal untuk membawa masuk tenaga kerja khususnya pekerja atau buruh asing untuk melancarkan pengeluaran juga tergendala sekali gus mengakibatkan penawaran yang masih terhad,” ujarnya. – UTUSAN










