PETALING JAYA: Syarikat di Malaysia perlu memperbaharui teknologi dan penyelesaian infrastruktur keselamatan siber mereka, menurut kajian terbaharu Cisco.
Kajian Hasil Keselamatan Jilid 2 itu berdasarkan tinjauan global terhadap lebih 5,100 profesional keselamatan dan privasi di 27 pasaran, yang merangkumi lebih 2,000 profesional dari 13 pasaran di Asia Pasifik.
Kajian tersebut turut menegaskan, sebanyak 60 peratus daripada teknologi keselamatan siber yang diguna pakai oleh syarikat-syarikat di Malaysia dianggap lapuk oleh profesional keselamatan dan privasi yang bekerja di organisasi-organisasi tersebut.
Selain itu, sebanyak 60 peratus responden dari Malaysia menyatakan mereka kurang yakin dengan infrastruktur keselamatan siber manakala 57 peratus menganggapnya rumit.
“Bagaimanapun, syarikat-syarikat di Malaysia gigih menangani cabaran ini dengan melabur dalam teknologi serta pendekatan keselamatan siber moden untuk menaik taraf postur keselamatan masing-masing.
“Lapan daripada 10 (81 peratus) responden di Malaysia memaklumkan syarikat mereka melabur dalam strategi Zero Trust, dengan 53 peratus berkata organisasi mereka mencapai kemajuan kukuh dalam penerapan strategi tersebut, manakala 27 peratus berkongsi organisasi mereka berada pada tahap matang pelaksanaannya,” menurut kajian itu.
Kajian turut mendapati, organisasi menghadapi pelbagai cabaran semasa beroperasi dalam landskap sedemikian, termasuk kesukaran menghubungkan pengguna kepada aplikasi serta data merentasi berbilang platform awan serta dasar keselamatan yang tidak konsisten merentasi pelbagai lokasi dan rangkaian.
“Selain itu, kesukaran mengesahkan identiti pengguna dan peranti, kurangnya ketelusan infrastruktur keselamatan hujung-ke-hujung turut menyumbang kepada masalah tersebut,” katanya.

Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Hana Raja berkata, perniagaan di seluruh dunia termasuk di Malaysia telah menyaksikan perubahan mendadak dalam model operasi mereka akibat pandemik.
“Ketika menghadapi perubahan seperti tenaga kerja multi-lokasi dan interaksi berpaksikan digital, perniagaan memerlukan rangka kerja keselamatan bersepadu untuk menghubungkan pengguna kepada aplikasi dan data secara lancar tanpa mengira persekitaran dan lokasi,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Keselamatan Siber untuk ASEAN di Cisco, Juan Huat Koo memberitahu, dalam persekitaran perniagaan hari ini yang dipacu digital, syarikat harus cakna soal keselamatan siber.
“Kajian terbaharu Cisco menawarkan pandangan bernas kepada profesional keselamatan tentang faktor yang benar-benar berkesan dalam pembinaan postur keselamatan yang kukuh, sekali gus membantu menajamkan fokus dan keutamaan syarikat untuk menjamin keselamatan perniagaan serta pengguna,” ujarnya. – UTUSAN










