
PETALING JAYA: Pengenalan pelbagai model kenderaan baharu terutamanya kenderaan elektrik (EV) dijangka bakal mendapat sambutan sekali gus merancakkan jualan sektor permotoran negara tahun ini.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, tawaran EV tersebut pastinya ditunggu pembeli tambahan pula didatangkan dengan pelbagai insentif termasuk pengecualian ke atas duti import, duti eksais dan cukai jalan seperti yang telah diluluskan dalam Bajet 2022 sebelum ini.
“Kerajaan juga telah melakukan pelbagai usaha bagi menarik perhatian orang ramai untuk memiliki EV yang lebih mesra alam. Pembuat kereta nasional, Proton dan Perodua juga turut mengambil bahagian dalam memperkenalkan produk EV tempatan.
“Selain itu, utk menggalakkan perkembangan EV, kerajaan turut memberi pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas kos pembelian dan pemasangan, sewaan dan sewa beli kemudahan serta bayaran yuran langganan kemudahan pengecasan EV.
“Kemudahan-kemudahan tersebut sudah tentu merancakkan lagi jualan kenderaan bagi tahun ini, seperti yang disasarkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA),” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Menurut Aimi Zulhazmi, untuk tempoh jangka panjang, pengenalan EV adalah satu strategi yang baik, kerana pertambahan EV akan mengurangkan jumlah subsidi ke atas bahan api berjumlah berbilion ringgit yang ditanggung kerajaan setiap bulan.
Jelasnya, harga minyak mentah juga dijangka akan terus meningkat hingga AS$100 setong pada 2022 menjadikan EV adalah pilihan terbaik buat masa ini.
“Justeru, saya jangkakan dengan potensi EV yang memiliki ciri-ciri ‘energy efficient vehicle’ adalah usaha terbaik meminimumkan pencemaran asap kenderaan dan mengurangkan kesan berganda pemanasan global.
“Sekiranya EV dikeluarkan pada segmen pertengahan dan bawah oleh Proton dan Perodua termasuk juga pembuat kereta luar, saya percaya EV bakal menjadi bintang bagi industri permotoran negara,” ujarnya.
Terdahulu, MAA menyasarkan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 645,000 menjelang 2023, 7.5 peratus lebih tinggi berbanding sasarannya untuk tahun ini iaitu 600,000.
Presidennya, Datuk Aishah Ahmad berkata, pihaknya telah mengambil kira faktor ekonomi dan persekitaran dalam ramalan untuk TIV tersebut, selain pertumbuhan tersebut didorong oleh pengembangan Bajet 2022 serta normalisasi dalam aktiviti ekonomi dan sosial.
Mengulas mengenai sasaran MAA, Aimi Zulhazmi memberitahu, ia dapat dicapai sekiranya Bank Negara Malaysia (BNM) tidak menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) seperti yang dijangkakan tahun ini.
“Sekiranya itu (kenaikan OPR) berlaku, kadar faedah atau pinjaman kenderaan bermotor akan bertambah dan akan mempengaruhi keputusan pengguna untuk membeli kereta baharu, sekali gus menjejaskan unjuran MAA,” jelasnya.
BNM sebelum ini mengumumkan OPR dikekalkan pada kadar 1.75 peratus. Namun, banyak pihak menjangkakan, OPR akan dinaikkan menjelang akhir tahun mengambil kira kenaikan inflasi dan ekonomi global. – UTUSAN










