BENGALURU: Harga emas kekal stabil apabila hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi mengimbangi sentimen pembelian di sebalik kebimbangan varian omicron yang melanda dunia.
Emas jongkong kekal tidak berubah pada AS$1,830.09 (RM7,634.22) seauns selepas mencecah paras tertinggi dalam lebih sebulan pada AS$1,831.49 (RM7,640.98) semasa sesi.
Niaga hadapan emas AS meningkat 0.1 peratus pada AS$1,830.30 (RM7,636.01).
Penanda aras perbendaharaan 10 tahun pada 2021 berakhir dengan peningkatan hasil terbesar sejak 2013.
Hasil yang lebih tinggi meningkatkan kos peluang untuk memegang emas tanpa faedah.
Lebih 4,000 penerbangan dibatalkan di seluruh dunia pada hari Ahad, lebih separuh daripadanya penerbangan AS, menambah gangguan perjalanan cuti hari minggu akibat cuaca buruk dan lonjakan kes Covid-19.
Jangkitan di seluruh dunia mencecah rekod tertinggi dalam tempoh tujuh hari yang lalu, dengan purata lebih sejuta kes dikesan sehari antara 24 dan 30 Disember, menurut data Reuters.
Wall Street ditutup menghampiri rekod tertinggi dalam dagangan ringan Jumaat lalu, menandakan tahun kedua pemulihan daripada pandemik Covid-19.
Diskaun emas di India melebar ke paras tertinggi dalam tempoh lima bulan pada minggu terakhir 2021 apabila pengguna di negara Asia utama menahan pembelian pada cuti akhir tahun di tengah-tengah sekatan baharu berkaitan virus.
Perak susut 0.2 peratus kepada AS$23.23 (RM96.92) seauns, platinum naik 0.8 peratus kepada AS$970.27 (RM4,047.97) dan paladium naik 0.6 peratus kepada AS$1,903.39 (RM7,940.94). – AGENSI









