Caring Pharmacy sambut ulang tahun ke-10,000 hari - Utusan Malaysia

Caring Pharmacy sambut ulang tahun ke-10,000 hari

MAJLIS sambutan ulang tahun ke-10,000 hari Caring Pharmacy.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Caring Pharmacy menyambut ulang tahun ke-10,000 hari dengan menyumbangkan 10,000 kotak (500,000 unit) pelitup separuh muka perubatan premium NEUTROVIS kepada 10 buah organisasi.

Majlis dihadiri oleh Tengku Datin Paduka Setia Zatashah, anakanda Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, ditemani Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana & Operasi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dari Pejabat Perdana Menteri, Penolong Pesuruhjaya, Abdul Wahab Rahim.

Menurut Caring Pharmacy, sambutan 10,000 hari itu melambangkan 27 tahun penubuhan Caring Pharmacy sejak September 1994 di Taman Muda, Cheras.

“Caring Pharmacy ditubuhkan oleh lima ahli farmasi bertujuan menyediakan kemudahan barang-barang penjagaan kesihatan yang berkualiti dan mampu milik untuk para pengguna.

“Setelah 27 tahun beroperasi, Caring Pharmacy telah berkembang kepada 158 buah cawangan di seluruh negara, termasuk di kompleks beli-belah terkemuka. Kini, mereka memperluaskan perniagaan mereka melalui program-program kesetiaan, melancarkan aplikasi mudah alih Caring, pengambilalihan 36 buah cawangan Georgetown Pharmacy dan Wellings Pharmacy, serta menembusi pasaran Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Tengku Setia Zatashah berkata, jenama tempatan seperti Caring Pharmacy menjadi kebanggaan melalui usaha mereka di dalam memberi bantuan kepada yang memerlukan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas sumbangan ikhlas mereka, setiap usaha diambil kira, dan setiap tindakan ada impaknya. Bersama-sama kita mampu melakukannya,” katanya.

Pengarah Urusan Caring Pharmacy, Chong Yeow Siang pula berkata, ia memberikan kebanggaan kepada beliau untuk merayakan sambutan 10,000 hari dengan menyumbang kembali kepada masyarakat melalui 10 buah persatuan tersebut.

“Ia merupakan pencapaian bersejarah dan amat bermakna buat kami, untuk membantu orang awam dalam urusan kesihatan dan kesejahteraan mereka. Seperti nama kami, kami amat prihatin terhadap rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama. Sebagai rangkaian farmasi terbesar tempatan, kami akan terus berkhidmat menyediakan kemudahan penjagaan kesihatan yang paling relevan semasa dan selepas pandemik ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN