Berhenti kerja bank, berniaga produk sendiri - Utusan Malaysia

Berhenti kerja bank, berniaga produk sendiri

ALIFF HAIKAL Abd. Manaff menunjukkan produk penjagaan rambut yang dihasilkannya selepas berhenti bekerja di sebuah institusi kewangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berbekalkan semangat untuk mencapai cita-cita dalam bidang perniagaan, seorang bekas pegawai bank sanggup bermula dari bawah dengan mengeluarkan produk sendiri dan dijual dari rumah secara dalam talian.

Walaupun bekerja di sebuah bank di Prai, Pulau Pinang selama 13 tahun, namun Pengarah HSF Manufacturing (HSF) Sdn. Bhd., Aliff Haikal Abd. Manaff, 37, tetap nekad berhenti kerja di institusi kewangan itu untuk berniaga secara sepenuh masa pada 2015.

Menurutnya, beliau memulakan perniagaan dengan mengeluarkan produk penjagaan rambut iatu syampu organik, serum dan scrub hasil ramuan sendiri.

Namun, beliau yang berasal dari Permatang Pauh, Pulau Pinang berkata, membina sebuah perniagaan baharu bukan satu perkara mudah sebaliknya pelbagai cabaran dan dugaan yang perlu ditempuhinya.

“Bermodalkan RM3,000, saya memulakan perniagaan dengan membeli bahan mentah seperti minyak kelapa dara dan aloe vera untuk mengeluarkan produk penjagaan rambut tersebut.

“Saya dan dibantu isteri, Sofiah Shafie, 32, juga memasarkan sendiri produk tersebut dari rumah sahaja,” katanya ketika ditemui di Kedah Halal Park, Kawasan Perindustrian Sungai Petani di sini baru-baru ini.

Tiga produk penjagaan rambut keluarannya itu ialah Shampoo Aloe Vera, Oceanic Sea Salt Scrub dan Jojoba Hair Serum. Harga pakej ketiga-tiga produk itu dijual RM140 sahaja.

Aliff Haikal yang merupakan bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur memberitahu, produk yang dikeluarkan itu mendapat sambutan menggalakkan walaupun diusahakan secara kecil-kecilan.

“Lebih membanggakan ketiga-tiga produk itu mendapat pembelian ulangan yang tinggi daripada pelanggan kerana keberkesanan produk dan harga­nya yang murah.

“Pada bulan pertama sahaja, saya tidak sangka dapat memasarkan kira-kira 1,000 unit dan sebanyak 25,000 unit dijual pada tahun pertama,” ujarnya.

Menurutnya, pada 2017, beliau terpaksa menyewa sebuah kilang di Kedah Halal Park untuk meningkatkan pengeluaran produk tersebut selepas menerima banyak tempatan daripada pelanggan.

Katanya, kilang berkenaan yang dilengkapi dengan beberapa mesin untuk menghasilkan produk yang berkualiti tinggi.

Tambahnya, pada masa sama, beberapa produk baharu juga dikeluarkan di kilang tersebut yang mempunyai seramai lapan pekerja secara berperingkat.

“Setakat ini, syarikat HSF te­lah mengeluarkan lapan produk baharu seperti produk makanan dan minuman kesihatan yang mendapat permintaan tinggi di pasaran.

“Pihak syarikat juga merancang untuk meluaskan pasaran produk-produk tersebut di pasaran luar negara selepas ini,” katanya.

ALIFF HAIKAL Abd. Manaff melihat pekerjanya mengendalikan mesin yang digunakan untuk menghasilkan produk penjagaan rambut.

BUKA KILANG

Dalam pada itu, Aliff Haikal berkata, pada bulan ini, dia membuka sebuah lagi kilang di Kedah Halal Park untuk mengeluarkan produk kosmetik bagi memenuhi permintaan peniaga-peniaga yang mahu mengeluarkan produk sendiri.

Menurutnya, kilang tersebut akan mengeluarkan produk penjagaan badan dan muka, losyen serta krim.

Jelasnya, sejak kebelakangan ini, banyak usahawan baharu yang berminat mengeluarkan produk jenama sendiri untuk bersaing di pasaran.

“HSF menawarkan produk berkualiti dengan harga yang kompetitif untuk memenuhi permintaan pelanggan dan mempunyai sijil pengiktirafan,” ujarnya.

Tambahnya, kesemua per­be­lanjaan untuk membuka ki­lang itu bernilai sebanyak RM250,000 secara berperingkat dengan menggunakan modal sendiri tanpa mendapat bantuan kewangan daripada mana-mana pihak.

Jelasnya, beliau berharap selepas ini terdapat jabatan dan agensi kerajaan menyediakan dana untuk membantu HSF mengembangkan perniagaan selepas ini.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Aliff Haikal di 013-8834737. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN