Banjir: Konsert, jualan amal UCSI kumpul RM100,000 - Utusan Malaysia

Banjir: Konsert, jualan amal UCSI kumpul RM100,000

MAJLIS penyampaian sumbangan UCSI untuk membantu mangsa banjir. Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad dan Naib Canselor Universiti UCSI,Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Siti Hamisah Tapsir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti UCSI dan Kolej UCSI berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM97,910.85 bagi membantu mangsa-mangsa banjir melalui konsert dan jualan amal.

Sabtu lalu, konsert amal yang diilhamkan sendiri oleh Pro-Canselor Universiti UCSI, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz, meraih dana sebanyak RM67,910.85.

Gandingan hebat beliau bersama maestro muzik terkenal seperti Bartosz Woroch, Ng Chong Lin, Poom Prommachart dan Foo Mei Yi serta pelajar dan staf Institut Muzik (IMus) UCSI menghiburkan tetamu yang hadir dengan pelbagai lagu pilihan antaranya Romanian Folk Dances, Sz 68, BB 76, L’embarquement pour Cythere dan Jentayu.

Tunku Zain berkata, usaha mengumpul dana bagi membantu mangsa-mangsa yang terjejas banjir ini tiba pada masa yang tepat dan sangat diperlukan.

“Saya berterima kasih kepada anda semua yang turut membantu dalam usaha kami ini,” katanya dalam ucapan pada konsert tersebut.

Menurut Universiti UCSI, dana terkumpul hasil sumbangan orang awam, kakitangan, ahli akademik, pemegang taruh serta pembekal itu kemudiannya disalurkan kepada tiga pihak iaitu Tabung Bantuan Banjir Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebanyak (RM10,000, sementara Lions Club KL dan Bulan Sabit Merah Selangor masing-masing menerima RM28,955.40.

Pada hari yang sama, Kolej UCSI bersama live streamer profesional menjalankan jualan amal secara dalam talian bagi mengumpul dana di mana acara itu merupakan sebahagian daripada program Certificate of Live Streaming yang diluluskan KPT-PACE.

“Barangan seperti produk kesihatan dan pelitup muka antara barangan hangat hingga meraih RM30,000 yang kemudiannya disalurkan kepada Tabung Bantuan Banjir KPT,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN