PETALING JAYA: Syarikat pemaju hartanah, pengurusan aset dan fasiliti, UDA Holdings Berhad (UDA) meraih Anugerah Syarikat Terbaik bagi kategori Kecemerlangan Kepimpinan dalam Inisiatif Komuniti dan Kelestarian di Sustainability & CSR Malaysia Award berdasarkan komitmen yang tinggi dalam mendekati masyarakat setempat.
Pengerusinya, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, UDA yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) sentiasa komited dalam melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di wilayah perniagaan UDA di seluruh Malaysia.
Ujarnya, usaha itu selari dengan tunggak utama perniagaan UDA iaitu memperkasa gaya hidup lestari.
“Program CSR UDA Cares menerusi empat tunggak utamanya iaitu Project RE_, Educational, Enriching Life dan Entrepreneur telah menyalurkan sumbangan dan zakat berjumlah hampir RM60 juta pada 2020.
“UDA giat menyalurkan bantuan ke Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Pulau Pinang, Hospital Rembau serta Hospital Permai Johor Bahru sebagai usaha membantu kesiapsagaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendepani pandemik Covid-19.
“Bantuan disalurkan merangkumi sumbangan barangan seperti televisyen, penapis air, peti ais, komputer, bedpan, bantal, kipas angin, kerusi dan makanan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
UDA turut menyediakan bantuan pengecualian sewa dan moratorium kepada Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) bertujuan menambah baik aliran tunai usahawan seterusnya bertahan dan bangkit semula selepas pandemik.
Bantuan diberikan kepada 847 penyewa di lebih 10 pusat perniagaan di bawah seliaan UDA.
Selain itu, UDA telah menyumbangkan zakat ke Asrama Kebajikan Ar-Rayyan di Taman Sri Amar, Johor Bahru berupa kelengkapan sekolah dan menaik taraf kemudahan asrama usaha sama dengan program Titipan Kasih Harian Metro.
Sumbangan zakat turut disalurkan ke Tabung Musaadah Khaira Pusat Pungutan Zakat (PPZ) dalam usaha membantu golongan pendapatan pertengahan yang terjejas di waktu pandemik selain meringankan beban penjaja.
Sejak di awal penubuhannya, UDA terus memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial merangkumi pelbagai aspek termasuk menyediakan rumah kos rendah dan mampu milik kepada rakyat Malaysia.- UTUSAN










