Tingkat bekalan gas asli secara berperingkat ke Sarawak
PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi peningkatan bekalan gas asli secara berperingkat ke Sarawak untuk pelaksanaan projek di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.
Menurut kenyataan Petronas, majlis menandatangani MoU itu berlangsung di Kuching, Sarawak kelmarin dengan dihadiri Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh.
Jelasnya, Petronas diwakili Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan, Adif Zulkifli manakala Petros diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Sauu Kakok.
Majlis itu disaksikan oleh Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, Mohamed Firouz Asnan; Pengerusi Lembaga Pengarah Petros, Tan Sri Dr. Hamid Bugo dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak, Datuk Dr. Mohammad Abdullah Zaidel.
Bercakap pada majlis itu, Mohd. Bakke berkata, peningkatan berperingkat yang dijangkakan di bawah MoU tersebut akan menjadikan jumlah peruntukan standard gas domestik kepada 1.2 bilion kaki padu sehari.
“(Ia) bukan sahaja akan menyokong aspirasi negara untuk menarik pelaburan daripada industri tambah nilai yang lebih tinggi ke Sarawak, tetapi juga akan memberikan dorongan yang diperlukan untuk penerokaan huluan lanjutan yang akan mengukuhkan asas sumber hidrokarbon negara,” katanya.
Petronas kini mempunyai perjanjian sedia ada untuk membekalkan gas asli kepada sektor kuasa dan bukan kuasa di Sarawak.
Petronas juga giat menggalakkan pelaburan huluan yang berterusan dalam meneroka lebih banyak sumber gas dan membangunkan lagi sumber yang ditemui, khususnya di Sarawak, jelas kenyataan itu. – UTUSAN










