PETALING JAYA: Lebih 50 peratus peningkatan jualan selain sektor peruncitan dicatatkan selepas kerajaan melonggarkan sekatan pelbagai aktiviti ekoran penularan wabak Covid-19.
Rata-rata peniaga menyifatkan kebenaran untuk beroperasi memberi ruang banyak pihak untuk bangkit kembali selepas hampir dua tahun terkesan.
Bagi usahawan tudung Rosnizan Md. Nawi, 40 berkata, dia optimis dan yakin untuk mencapai sasaran nilai jualan yang ditetapkan pada tahun ini mampu dicapai sekiranya kerajaan berjaya mengekalkan momentum sedia ada menerusi pembukaan pelbagai sektor lain.
Malah katanya, dia dalam masa yang sama yakin terhadap peningkatan sektor ekonomi untuk tempoh beberapa bulan akan datang berdasarkan kuasa beli pengguna termasuk dalam kalangan pelanggannya yang kini semakin meningkat.
“Saya dapat rasakan pelanggan yang terdiri daripada orang perempuan kini rancak membeli untuk keperluan mereka selepas pelbagai sektor dibuka. Orang sudah boleh keluar dan mahu kelihatan bergaya dika dibandingkan sebelum ini.
“Rata-ratanya mahu gunakan untuk dipakai sewaktu ke pejabat dan ada juga yang mahu gunakan untuk menghadiri majlis kenduri. Alhamdulilah perniagaan kembali naik,”katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Tambah Rosnizan, dia meletakkan harapan kepada kerajaan pada masa sekarang untuk memastikan sektor ekonomi dapat terus berkembang walaupun ketika penularan wabak Covid-19.
Dia turut yakin kerajaan akan mengambil pendekatan yang lebih baik dan mesra ekonomi selepas ini sekiranya berlaku peningkatan semula kes Covid-19.
Bagi pemilik butik Mezra Global Hall Sdn. Bhd. Zarinah Mohideen, 45 berkata, dia kini ‘tidak menang tangan’ selepas menerima banyak tempahan bagi pelanggan yang mahu melaksanakan majlis perkahwinan.
“Seminggu pasti ada yang mahu terus sahkan tempahan mereka. Jika dahulu sebulan seorang pelanggan pun susah, kini alhamdulillah, perniagaan saya naik sehingga 70 peratus. Mereka mahu buat majlis lebih-lebih lagi selepas kerajaan beri kebenaran untuk mengadakan majlis perkahwinan,” katanya. – UTUSAN