Celcom, Telefonica jalin kerjasama
PETALING JAYA: Celcom Axiata Berhad (Celcom) menjalin kerjasama dengan Telefónica Tech iaitu sebuah syarikat tersohor di peringkat global dalam bidang keselamatan siber.
Kerjasama dengan Telefónica Tech akan memperkukuh kedudukan Celcom dalam penyediaan penyelesaian keselamatan siber bertaraf dunia, berdaya tahan, dan inovatif kepada organisasi-organisasi di Malaysia.
Ia bagi melindungi dan memastikan kelangsungan perniagaan dalam menghadapi pelbagai kemungkinan cabaran siber pada era digital ini.
Ketua Pegawai Operasi (Teknologi) Celcom, Afizulazha Abdullah berkata, kesan pandemik telah membawa peralihan perniagaan dan organisasi di Malaysia ke arah ekosistem digital hari ini, dan amat penting bagi organisasi tersebut untuk sentiasa berwaspada dan melindungi aset digital mereka.
Beliau berkata, kolaborasi Celcom dengan Telefónica Tech akan terus memacu digitalisasi bagi perniagaan tempatan, di samping menyediakan penyelesaian keselamatan siber yang inovatif dan terkini.
“Dengan gabungan kepakaran Celcom dan Telefónica, organisasi tempatan dapat menerima sokongan bagi pengurusan risiko digital merangkumi konsultasi bagi pelaksanaan dan langkah berjaga-jaga yang berteraskan pencegahan, pengesanan dan tindak balas yang sesuai bagi mengurangkan serangan siber,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Telefónica Tech, Maria Jesus Almazor pula berkata, kerjasama yang dijayakan melalui Telefónica Global Solutions merupakan satu langkah ke hadapan bagi melengkapkan keupayaan Celcom untuk membangun sebagai penyedia perkhidmatan keselamatan terurus pintar.
“(Ia juga membolehkan Celcom) mendapat manfaat daripada kepakaran dan pengetahuan Telefónica Tech, seterusnya membolehkan Celcom menawarkan perkhidmatan keselamatan siber yang terkini dan unggul bagi melindungi perniagaan dalam golombang pendigitalan kini,” katanya.
Menurut Celcom, melalui rangka kerja perjanjian yang telah ditandatangani pada 2020 oleh Telefónica dan Axiata Group, kedua dua syarikat telah bekerjasama dalam menyediakan solusi teknologi yang terbaik dalam pasaran dan juga penyediaan perkhidmatan digital kepada pelanggan-pelanggan perniagaan ke perniagaan (B2B) bagi kesemua syarikat operasi Kumpulan Axiata.
Perjanjian itu akan memberi manfaat besar bagi Celcom dan Telefónica, dan terus memperkukuh perhubungan strategik antara kedua-dua pihak. – UTUSAN










