MR D.I.Y diiktiraf jenama terbaik serantau - Utusan Malaysia

MR D.I.Y diiktiraf jenama terbaik serantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MR D.I.Y Group (M) Berhad dianugerahkan Brand of the Year Regional Award di World Branding Awards 2021-2022 yang mengiktiraf pencapaian dan hasil kerja jenama terbaik dunia berdasarkan penilaian jenama selain penyelidikan pasaran pengguna dan pengundian dalam talian.

Menurut syarikat peruncit kelengkapan rumah itu, untuk tiga tahun yang lalu, pihaknya telah menerima anugerah kebangsaan yang diberikan kepada setiap negara yang ikut serta.

Tahun ini, katanya, buat pertama kali MR D.I.Y berjaya menerima anugerah serantau yang mengiktiraf jenama terbaik dalam kalangan beberapa negara di rantau tertentu.

Naib Presiden Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y, Andy Chin berkata, anugerah tersebut merupakan pengiktirafan terhadap tenaga kerja syarikat itu di kesemua enam pasaran serantaunya, iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura dan Brunei.

Kata beliau, ia turut mencerminkan kesetiaan para pelanggan MR D.I.Y yang menyokong jenama itu sejak kedai pertamanya dibuka di Kuala Lumpur pada 2005.

“Anugerah ini menggariskan penghargaan pelanggan terhadap komitmen kami menunaikan janji untuk memberikan keselesaan, nilai dan harga yang sentiasa rendah.

“Sasaran kami pada masa hadapan adalah untuk kekal menunaikan janji kami dalam cara yang baharu dan inovatif.

“Meneroka format kedai baharu yang membolehkan kami membawa MR D.I.Y kepada komuniti baharu dalam jenis pasaran yang berbeza akan menjadi keutamaan kami,” katanya.

Menurut Andy, Kumpulan MR D.I.Y turut meningkatkan tumpuannya kepada elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui pelbagai inisiatif seperti lebih 50 program di seluruh rantau untuk menyokong komuniti yang terkesan akibat pandemik sejak tahun lalu.

World Branding Awards merupakan majlis anugerah tahunan yang dianjurkan World Branding Forum, sebuah pertubuhan tidak berorientasikan keuntungan yang ditubuhkan untuk memajukan prinsip penjenamaan untuk manfaat pelanggan dan komuniti penjenamaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×