PETALING JAYA: MIDF Research menurunkan unjuran pendapatan Top Glove Corporation Berhad sebanyak -4.4 peratus untuk tahun kewangan 2022 dan -4.2 peratus untuk tahun kewangan 2023, masing-masing kepada RM1.7 bilion dan RM1.4 bilion.
Menurut institusi penyelidikan itu, penurunan unjuran tersebut dibuat berikutan penyusutan purata harga jualan (ASP) sarung tangan getah yang memberi kesan kepada pendapatan suku pertama 2022 syarikat itu dengan teruk.
Katanya, ASP dijangka akan kekal dalam trend menurun disebabkan peningkatan pengedaran vaksin di seluruh dunia dan peningkatan persaingan dari China.
“Prestasi lemah disebabkan penurunan ASP dan kos operasi yang lebih tinggi akibat kadar utilisasi yang rendah pada 55 peratus, yang mana kadar utilisasi normal untuk getah asli lebih tinggi berbanding getah nitril.
“Tambahan lagi, kadar pengurangan kos bahan mentah yang lebih perlahan berbanding ASP sarung tangan turut memberi kesan.
“Untuk perhatian, purata harga pekatan lateks asli dalam suku tersebut berkurang lapan peratus sementara harga lateks nitril jatuh 19 peratus berbanding suku keempat 2021,” katanya dalam nota kajian semalam.
Menurut MIDF Research, untuk keempat-empat jenis sarung tangan yang dihasilkan, ASP menurun suku ke suku dalam julat -7 hingga -37 peratus.
“Julat ASP untuk sarung tangan getah nitril adalah antara AS$30 (RM126.36) hingga AS$35 (RM147.42) manakala untuk getah bebas serbuk dan getah asli berserbuk adalah antara AS$34 (RM143.21) hingga AS$36 (RM151.63) dan AS$22 (RM92.66) masing-masing,” katanya. – UTUSAN










