Merdeka 118 rancakkan ekonomi Keluarga Malaysia - Utusan Malaysia

Merdeka 118 rancakkan ekonomi Keluarga Malaysia

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Ariffin Zakaria (kiri) dan Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn ketika menyempurnakan gimik majlis memasang replika puncak Merdeka 118 di ibu negara semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyempurnaan pemasangan puncak menara Merdeka 118 di ibu negara semalam adalah pencapaian hebat dalam bidang kejuruteraan selain mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai negara moden dan maju.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui bangga kerana puncak menara kedua tertinggi di dunia itu dapat disempurnakan walaupun negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Merdeka 118 akan menjadi menara pertama di Malaysia mencapai tiga penarafan platinum hijau dalam pensijilan kelestarian antarabangsa serta pensijilan WELL yang berprestij.

“Ini menjadikan Merdeka 118 menjadi penanda aras industri di Malaysia sebagai menara ikonik untuk masa depan,” kata Perdana Menteri ketika merasmikan Majlis Pemasangan Puncak Menara Merdeka 118 semalam.

Menurut beliau, pembinaan Merdeka 118 tersebut juga bakal memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia kerana ia akan menjadi pemangkin baharu ekonomi bagi Kuala Lumpur, sekali gus melengkapi kawasan-kawasan lain yang rancak membangun seperti KLCC dan KL Sentral.

“Pembangunan tersebut juga dapat memberi peluang kepada masyarakat setempat terutamanya di kawasan yang berdekatan seperti Jalan Petaling, Kampung Attap serta Pudu untuk menjana ekonomi,” katanya.

Tambahnya, Merdeka 118 akan membawa semangat Keluarga Malaysia kerana selain memberi peluang komuniti setempat membangunkan perniagaan, program atau aktiviti juga boleh diadakan bagi menambahkan daya tarikan di kawasan sekitar Merdeka 118 menerusi Program Geran Komuniti Merdeka 118.

“Permohonan Geran Merdeka 118 ini sudahpun dibuka pada 28 Jun sehingga 20 Ogos 2021, di mana sebelum ini Keluarga Malaysia memohon untuk mendapatkan tiga jenis geran iaitu sukan, seni dan komuniti perniagaan.

“Langkah ini secara langsung dapat menggalakkan penglibatan Keluarga Malaysia dalam perkongsian idea untuk mengaktifkan semula komuniti, membina lebih banyak peluang untuk pertumbuhan sosioekonomi,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berpendapat, pembinaan Merdeka 118 sebagai cerminan penyatuan warisan dan sejarah Malaysia dengan evolusi masa depan selain mampu menghidupkan kembali kawasan bersejarah di Kuala Lumpur.

“Hal ini dapat dilihat melalui usaha yang diambil oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk memelihara khazanah negara kita iaitu Stadium Merdeka dan Stadium Negara melalui kerja pemuliharaan yang telah giat dijalankan.

“Usaha ini adalah selaras dengan visi kerajaan untuk membangunkan Daerah Kreatif dan Budaya Kuala Lumpur (KLCCD) melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Think City dan Jabatan Warisan Negara.

“Pelan Induk Strategik KLCCD ini bertujuan untuk mewujudkan ekosistem berpusatkan kreativiti dan budaya yang mampu merangsang ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat di Malaysia,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.