Jualan Proton lepas 100,000 unit - Utusan Malaysia

Jualan Proton lepas 100,000 unit

SAGA terus menjadi model paling laris Proton di pasaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton Holdings Berhad (Proton) melepasi jumlah jualan 100,000 unit untuk tahun ketiga berturut-turut.

Pada November, Proton menjual sebanyak 14,187 unit (domestik dan eksport), menjadikan jumlah jualan semasa sebanyak 100,566 unit.

Menurut Proton, pencapaian itu meningkatkan keyakinan bahawa syarikat akan dapat mengaakhiri tahun ini dengan perkembangan jualan yang positif.

Katanya, jualan pada November meningkat sebanyak 6.2 peratus berbanding Oktober, sekali gus mencatatkan pertumbuhan selama tiga bulan berturut-turut.

“Berbanding November 2020, jualan meningkat sebanyak 24.3 peratus, yang juga menyebabkan jualan semasa meningkat sebanyak 4.3 peratus.

“Pegangan pasaran pula dianggarkan sekitar 24.5 peratus, manakala pegangan pasaran dalam tempoh yang sama berbanding tahun lepas meningkat sebanyak 1.9 peratus dan buat masa ini berada di paras 22.8 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Proton, Saga merampas semula takhta jualan terbaik sementara Proton X50 melepasi 4,000 unit.

Jelasnya, November merupakan bulan yang aktif bagi industri automotif Malaysia dengan pelancaran model-model baharu serta berita pelanjutan insentif tempoh bebas cukai yang memberikan keterujaan bagi pembeli kereta.

“Isu bekalan komponen terus menjadi perhatian untuk semua pengilang tetapi keseluruhannya, jenama dengan
jumlah unit yang mencukupi berada di kedudukan yang selesa,” tambahnya.

Mengulas pencapaian itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, November merupakan bulan jualan yang baik bagi Proton dengan keseluruhan jualan industri terhad kepada pengeluaran dan bukan permintaan.

“Melepasi 100,000 unit dengan tempoh berbaki sebulan merupakan sesuatu kedudukan yang baik untuk kami selepas diganggu oleh wabak Covid-19. Kami berbesar hati dengan pencapaian tersebut dan yakin akan dapat mengakhiri tahun ini dengan peningkatan jumlah jualan.

“Ini akan menjadikan kami jenama nasional tunggal yang meningkat dari segi jualan dan pegangan pasaran pada tahun ini dan memberikan kami asas yang kukuh menuju 2022 untuk kami melakukan proses konsolidasi dan meningkatkan kedudukan kami di pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN