JAKARTA: Indonesia menjadi negara terbaharu yang membenarkan pesawat Boeing 737 MAX kembali ke ruang udaranya, menyertai Ethiopia dalam menarik balik larangan penerbangan ke atas pesawat berkenaan yang terhempas di kedua-dua negara lebih dua tahun lalu.
Kementerian Pengangkutan akan membenarkan syarikat penerbangan menyambung semula penerbangan pesawat di wilayahnya selepas selesai proses penyiasatan dan penambahbaikan dibuat pada sistem pesawat, kata Ketua Pengarah Pengangkutan Udara, Novie Riyanto dalam satu kenyataan, semalam.
Indonesia mengalami nahas paling buruk melibatkan jet itu pada Oktober 2018, yang mengorbankan 189 orang di dalam pesawat Lion Air.
Nahas kedua di Ethiopia membabitkan jenis sama, lima bulan kemudian meragut 157 nyawa.
Dua nahas itu menyebabkan pesawat itu digantung operasi di seluruh dunia dan penyiasatan dijalankan mendedahkan kecacatan reka bentuk dalam sistem kawalan penerbangan.
Indonesia menyertai negara jirannya termasuk Malaysia dan Singapura dalam meneruskan penggunaan pesawat itu.
Kumpulan Ethiopian Airlines merancang untuk menyambung semula penerbangan jet itu mulai 1 Februari akan datang. MAX juga dibenarkan terbang oleh India pada 26 Ogos lalu.
Amerika Syarikat (AS) dan Brazil telah menamatkan larangan penerbangan pada akhir 2020, diikuti oleh pasaran utama lain termasuk Eropah.
China, negara pertama yang melarang penerbangan jet itu selepas nahas kedua di Ethiopia, masih belum menarik balik larangan berkenaan, walaupun penerbangan ujian telah dijalankan di negara itu pada Ogos lalu. – AGENSI










