KUALA LUMPUR: Mekanisme Rangkaian Pemborong Tunggal (SWN) akan mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G negara dan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam menawarkan perkhidmatan 5G, menurut Digital Nasional Berhad (DNB).
Syarikat itu juga menyasarkan untuk menyelesaikan perjanjian pemborong rangkaian 5G dengan pengendali rangkaian mudah alih menjelang hujung Mac 2022.
Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat DNB, Zuraida Jamaluddin berkata, Malaysia kini berada pada kedudukan keenam yang menawarkan perkhidmatan komersial 5G selepas Singapura, Filipina, Thailand, Vietnam dan Indonesia.
“SWN akan mengurangkan kerumitan dan akan menjadikan kami platform kendalian tunggal yang melancarkan rangkaian 5G di Malaysia.
“Kami merancang untuk menyediakan perkhidmatan 5G pada bulan ini selaras dengan dengan syarat pelesenan kami.
“Kami juga ingin meningkatkan kedudukan negara kepada tempat kedua menjelang 2024 dengan garis masa yang agresif untuk mencapai liputan sebanyak 80 peratus pada 2024 dengan keupayaan 5G sepenuhnya,” katanya dalam sidang akhbar, semalam.
Namun, DNB tidak mendedahkan mana-mana syarikat yang telah menggunakan ketersediaan 5G itu buat masa ini dan berkata mereka akan membuat pengumuman rasmi pada bulan ini.
DNB yang merupakan anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, telah diberi mandat oleh kerajaan untuk menjadi parti neutral tunggal untuk melaksanakan penggunaan infrastruktur dan rangkaian 5G di seluruh negara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangannya, Nik Azlan Nik Abdul Aziz berkata, kos liputan peralatan dan infrastruktur rangkaian itu berjumlah RM11.5 bilion dan menerusi mekanisme SWN, 85 peratus akan memberi manfaat kepada Malaysia.
“Syarikat telekomunikasi boleh berjimat dan tidak perlu berbelanja untuk kos rangkaian infrastruktur yang dianggarkan berjumlah RM7.5 bilion.
“DNB telah diamanahkan untuk membina, mengendali dan menyewa infrastruktur 5G dan pada masa yang sama menyokong industri telekomunikasi tempatan.
“Mekanisme itu hanya akan menghasilkan RM1.7 bilion aliran keluar asing berbanding syarikat telekomunikasi itu membina sendiri infrastruktur 5G berasingan,” katanya. – UTUSAN










