Upin & Ipin tarikan MSD 2021 - Utusan Malaysia

Upin & Ipin tarikan MSD 2021

Siri animasi Upin dan Ipin bakal menjadi tarikan dalam Minggu Saham Digital 2021. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siri animasi 3D tempatan, Upin & Ipin yang berkisar tentang kepentingan perancangan kewangan bakal menjadi antara daya penarik Minggu Saham Digital (MSD) 2021 anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Tiga episod baharu yang dihasilkan dengan kreativiti Les’ Copaque Production itu dibawakan khas mengikut tema MSD 2021 #LaburBersama dan akan disiarkan pada 8 malam, Jumaat ini.

MOHAMMAD HUSSIN

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Mohammad Hussin berkata, MSD 2021 adalah komitmen PNB dalam meningkatkan standard literasi kewangan serta memperkasakan rakyat Malaysia membuat keputusan kewangan yang lebih baik demi masa hadapan.

Jelasnya, pihaknya sentiasa membawakan kelainan baharu menggunakan teknologi seperti YouTube, Facebook dan TikTok agar dapat menarik lebih ramai individu menonton pelbagai segmen hibur didik di samping meneroka ilmu kewangan baharu.

“Paling penting, kami meneliti program-program supaya ia menonjolkan kelainan daripada MSD tahun lalu. Kami mengkaji program yang kurang mendapat sambutan dan tambah baik kandungan bagi tahun ini.

“Menariknya, tahun ini kami bawakan siri animasi Upin & Ipin yang boleh ditonton oleh seisi keluarga. Dalam tiga siri tersebut, pelbagai perkara baharu seperti kepentingan simpanan kewangan akan dikete­ngahkan.

“Pendekatan ini akan memberikan pengajaran kepada anak kecil supaya mereka lebih faham mengenai kewangan dan para ibu bapa juga akan mendapat kesedaran yang mereka perlu lakukan sesuatu supaya masa depan anak-anak mereka lebih terjamin,” katanya kepada pemberita.

Menurut Mohammad, sejak penganjuran MSD secara dalam talian pada 2020, PNB berpegang teguh kepada mandat yang diberikan untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan dan merapatkan jurang literasi kewangan rakyat Malaysia.

“MSD menyediakan platform untuk memanfaatkan ilmu kewangan yang boleh diakses oleh lebih ramai rakyat Malaysia de­ngan keselesaan di rumah sendiri,” katanya.

Sepanjang MSD, penonton bakal menyaksikan lebih 70 program hibur didik dan segmen bicara menarik melalui siri bual bicara, forum dan webinar bersama,pakar khusus bidang, pemain utama industri, perso­naliti dan selebriti de­ngan hadiah bernilai lebih dari RM500,000 untuk dimenangi.

Antara segmen hibur didik lain adalah Sembang-sembang ASNB, ASNB Whoa! Shop, ASB Masterclass, Lepak Je!, Rakat Slots, Cash It In, Roda Labur dan Santai Bicara Muamalat.

Untuk menyertai program dan peraduan yang ditawarkan sepanjang MSD 2021, orang ramai dijemput melayari laman web rasmi MSD di www.minggusahamdigital.com.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN