Terima tawaran AS$23.6 bilion - Utusan Malaysia

Terima tawaran AS$23.6 bilion

PENJUALAN Lapangan Terbang Sydney hadir selepas kerajaan Australia membuka kembali sempadan udaranya kepada pelancong antarabangsa selepas ditutup hampir dua tahun akibat pandemik Covid-19. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Sydney Airport Hol­dings bersetuju menerima tawaran pengambilalihan bernilai A$23.6 bilion (RM72.55 bilion) daripada kumpulan pelabur infrastruktur.
Perjanjian tersebut merupakan antara pengambilalihan terbesar dalam sejarah Australia.

Lembaga lapangan terbang terbesar Australia itu berkata, pihaknya sebulat suara bersetuju dengan tawaran pengambilalihan daripada Perikatan Pener­bangan Sydney (SAA) yang dianggotai pelabur Australia, IFM Investors, QSuper dan AustralianSuper serta Global Infrastructure Partners dari Amerika Syarikat (AS).

Pengarahnya, David Gons­ki berkata, pihaknya percaya kesan langkah tersebut menggambarkan nilai jangka panjang yang baik kepada lapangan terbang tersebut dan sebulat suara mencadangkan tawaran tersebut kepada pemegang saham.

Menurut Sydney Airport, Surat ikatan pelaksanaan skim pengambilalihan itu telah dibuat semalam dan mesyuarat skim akan dilaksanakan pada Januari.

Perjanjian untuk membeli satu-satunya lapangan terbang tersenarai di Australia itu hadir ketika negara itu melonggarkan sekatan sempadan antarabangsanya bulan ini untuk pertama kali sejak pandemik bermula.

Ia diikuti tawaran yang lebih baik daripada SAA sebanyak A$8.75 (RM26.90) sesaham pada September, 3.6 peratus lebih tinggi daripada tawaran pertamanya.

Ia memberikan keyakinan kepada lembaga syarikat itu untuk memberikan konsortium tersebut akses kepada usaha wajar.

Perjanjian tersebut bergantung kepada laporan pakar bebas, kelulusan 75 peratus pemegang saham operator lapangan terbang itu dan lampu hijau daripada pengawal atur persaingan serta Lembaga Pemeriksa Pelaburan Luar.

SAA dalam kenyataannya berkata, mereka menantikan pengundian daripada pemegang sekuritinya terhadap tawaran tersebut.

“Perikatan kami mewakili jutaan rakyat Australia dan kami berniat untuk bekerja keras membawa lebih banyak penerbangan dan penumpang kembali ke lapangan terbang ketika industri penerbangan bangkit dari Covid-19,” katanya.

Suruhanjaya Persaingan dan Kepenggunaan Australia sedang menyiasat kesan transaksi tersebut dari segi persaingan, termasuk kesan pemilikan konsortium itu terhadap beberapa lapangan terbang dalam negara itu.

Dapatannya dijangka dikeluarkan pada 16 Disember. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN