Sijil halal, MEDAC bantu usahawan, koperasi - Utusan Malaysia

Sijil halal, MEDAC bantu usahawan, koperasi

MENTERI Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar cuba memasak apam balik dalam satu program pembangunan usahawan anjuran kementerian, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menjelang 2030, pasaran halal global dijangka mencecah AS$5.0 trilion (RM20.89 trilion) manakala pasaran domestik pula dianggarkan mencecah AS$113.2 bilion (RM472.95 bilion).

Ia menunjukkan bahawa industri halal kekal mempunyai potensi yang besar untuk diperkasakan dengan strategi terancang dan inklusif.

Usahawan dan koperasi perlu merebut peluang mendapatkan pensijilan halal memandangkan potensi industri halal  semakin berkembang dan dapat meningkatkan nilai pasaran produk.

Pemilikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) penting bagi membolehkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana  (PMKS) dan koperasi menjadi pemacu utama kepada perkembangan industri halal di negara ini.

Selain Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan Good Manufacturing Practice (GMP), SPHM kini turut  menjadi antara piawaian penting dalam perusahaan makanan hari ini.

Melihat pada kepentingan pensijilan halal di kalangan usahawan PMKS dan koperasi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) optimis memberi bantuan bimbingan bagi meningkatkan kesedaran kepada usahawan dan koperasi tempatan untuk mendapatkan SPHM.

MEDAC juga mengambil langkah proaktif dengan menerapkan pendekatan realistik dan praktikal menerusi Program Pembangunan Keusahawanan Halal (PPKH) untuk memperkukuh kemampuan usahawan dan koperasi memacu sektor  halal.

Inisiatif program yang dikelola MEDAC itu memberi fokus kepada pembangunan modal insan usahawan dan pegawai-pegawai kerajaan, menaik taraf produk dan proses pembuatan serta perluasan akses pasaran yang sekali gus
dapat meningkatkan keupayaan ekosistem halal tempatan.

Empat program utama di bawah PPKH adalah Program Pembangunan Kapasiti Usahawan (Halal Outreach Programme
for Entrepreneurs – HOPE), Program Pembangunan Kapasiti Produk (Product Transformation Programme – PuTRA),  Adaptasi Teknologi dan Inovasi (Halal Technology and Transformation Programme -HTTP) dan Pengantarabangsaan  (Product Registration Incentive – PRInce dan Market Access Incentive – MASSIVE).

Program-program ini adalah selari dengan fokus MEDAC di bawah Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) melalui
Teras Strategik Ke-6: Melahirkan Lebih Banyak ‘Juara Halal’ dalam kalangan pemain industri tempatan.

Oleh itu, bagi merealisasikan program PPKH, MEDAC melantik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), SME Corp. Malaysia  dan TEKUN Nasional sebagai agensi pelaksana selain menjalinkan kerjasama strategik bersama Jabatan Kemajuan Islam  Malaysia (Jakim).

PRIHATIN TERHADAP PEMBANGUNAN USAHAWAN DAN KOPERASI 

Selaras dengan komitmen MEDAC untuk memberikan bantuan bimbingan terhadap pembangunan usahawan dan koperasi, program PuTRA dan program HTTP bagi memantapkan lagi keupayaan PMKS dan Koperasi dirangka untuk  menguasai pasaran halal secara holistik.

Program PuTRA, memberi penekanan khusus terhadap pembangunan kapasiti produk usahawan dan koperasi dari aspek
3P iaitu penjenamaan, pelabelan dan pembungkusan agar produkproduk tersebut lebih kompetitif dan mempunyai nilai komersial yang lebih tinggi.

Sementara itu, program HTTP pula dibangunkan khusus dengan kerjasama agensi perunding yang mempunyai kepakaran
untuk mengenal pasti kaedah intervensi bersesuaian dalam proses penghasilan produk supaya kapasiti pengeluaran  produk dapat dipertingkatkan.

LEBIH 100 HDO BIMBING PERMOHONAN PENSIJILAN HALAL

Program HOPE telah dilaksanakan bermula dengan menyediakan pegawai kementerian dan agensi dengan pengetahuan dan kemahiran sebagai Halal Development Officer (HDO) menerusi Kursus Pensijilan Profesional Halal yang diiktiraf oleh
Majlis Profesional Halal, Jakim.

Peringkat kedua pula melibatkan pelaksanaan program Reach Out To Entrepreneurs (ROTE) di mana pegawai yang dilatih  akan berperanan sebagai pemudahcara untuk membantu usahawan mendapatkan pensijilan halal.

Pada tahun ini, SIRI I Program HDO yang dijalankan melibatkan 100 pegawai MEDAC, SME Corp. Malaysia, TEKUN dan  SKM.

Pembimbing profesional terlatih ini bagaimanapun perlu tamat menjalani latihan Kursus Pensijilan Profesional Eksekutif Halal bagi melayakkan mereka untuk memberi bantuan bimbingan dan khidmat nasihat kepada usahawan dan koperasi.
Selain daripada itu, MEDAC turut menawarkan pembiayaan  pensijilan halal dengan kadar sebanyak RM200 bagi setiap
usahawan.

STRATEGI TINGKAT EKONOMI HALAL 

Menyentuh tentang cabaran, MEDAC sentiasa berusaha bagi memperkasakan industri keusahawanan halal negara.

Krisis pandemik melanda negara menjadi cabaran utama dihadapi usahawan menjadikan kelangsungan perniagaan  sebagai keutamaan.

Selaras dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dirangka oleh kerajaan, MEDAC telah menyediakan Rangka Pemulihan Usahawan MEDAC (RPUM).

Di bawah RPUM, MEDAC menggunakan pendekatan 5E (Enculture, Empower, Enable, Energize dan Engage) dalam tempoh masa segera (Quick Win Ogos 2021 hingga Disember 2021) dan sederhana (Januari 2022 hingga Disember 2022).

MEDAC turut menjalinkan kerjasama strategik dan libat urus pelbagai organisasi serta agensi lain termasuk Halal  Development Corporation Berhad (HDC), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Pembangunan Luar Bandar, JAKIM dan lain-lain agensi kerajaan.

SKM BANTU KOPERASI TEMBUSI PASARAN HALAL

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Koperasi SKM, Zainudin Sulaiman berpendapat bahawa pelaksanaan program PPKH membuktikan bahawa usaha kementerian untuk merealisasikan harapan menjadikan usahawan dan koperasi sebagai peneraju sektor halal boleh menjadi realiti.

“Program ini antara usaha yang dipertengahkan dengan memastikan bahawa setiap agensi dilantik kementerian  menjalankan peranan masing-masing untuk memberi bantuan bimbingan berkenaan.

“SKM turut memainkan peranan tersendiri dalam memastikan lebih banyak koperasi terlibat dalam mendapatkan  pensijilan halal sekali gus menembusi pasaran lebih luas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.