fbpx

Petronas persembah animasi Akka, semarak semangat Deepavali

Petronas dalam kenyataan berkata, dana berkenaan diperuntukkan oleh unit dan anak syarikat Kumpulan Petronas termasuk Yayasan Petronas. -GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA: Sempena sambutan Deepavali tahun ini, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mempersembahkan filem web animasi, ‘Akka’ yang memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia bahawa terdapat sinar harapan dan kegembiraan walaupun berdepan situasi yang sukar.

Adaptasi kisah epik India purba Ramayana itu membawa kisah perjuangan menentang kegelapan yang menggambarkan keadaan rakyat Malaysia mengharungi cabaran pandemik Covid-19.

Secara tidak langsung, kisah tersebut mengajak rakyat Malaysia untuk terus bersemangat dalam mengharungi perjalanan ke arah pemulihan daripada pandemik.

Dalam filem web berdurasi empat minit 16 saat itu, watak utama Dheeya meneruskan pengembaraan dengan kawan baiknya, Surya, untuk mencari adiknya, Prem. Pengembaraannya itu telah membuat Dheeya mengenal dirinya sendiri.

Sepanjang perjalanan, dia mendapati pelajaran hidup yang berharga dan menyedari perasaan kasih sayang itu juga merupakan satu tanggungjawab.

Dheeya juga belajar mengubah kemarahan dan kekecewaannya menjadi sebuah cinta dan penerimaan.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Datin Anita Azrina Abdul Aziz berkata, wabak Covid-19 sememangnya kekal sebagai cabaran kepada rakyat Malaysia walaupun di musim perayaan ini.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan, itu bukan satu alasan dan perlu dilihat dari sudut positif untuk mengeratkan perpaduan dan semangat perayaan dalam masyarakat dan diri kita semua.

“(Sempena) Deepavali ini, kami ingin meraikannya dengan tema kasih sayang dalam keluarga dan keyakinan terhadap potensi diri. Walaupun terdapat pelbagai bentuk kegelapan dan cabaran dalam hidup, sentiasa ada ‘cahaya’ yang akan membantu kita melaluinya,” katanya.

LASHANYA Rangoli sedang membuat Kolam menggunakan tepung beras di hadapan sebuah stesen minyak Petronas.

Bersandarkan tema perayaan Petronas 2021 Stories of Joy, ‘Akka’ berharap dapat meraikan semangat Pesta Cahaya, kejayaan memerangi kegelapan dan kejahatan, di samping mengetengahkan kepentingan keluarga dan kepercayaan dalam mengatasi sebarang halangan.

Kata Anita, filem animasi ini diharap dapat menyemarakkan semangat Deepavali bukan sahaja dalam kalangan mereka yang beragama Hindu, malah buat seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

“Nyalakan lampu cinta dalam diri, dan ia akan membawa kita maju ke hadapan.

“Kami di Petronas mengucapkan Selamat Menyambut Perayaan Cahaya kepada semua rakyat Malaysia. Semoga cahaya dan kasih sayang sentiasa membara. Selamat Menyambut Deepavali,” ujarnya.”

Sempena pelancaran filem web animasi itu juga, Petronas menampilkan kelainan dengan kolam direka khas yang sedang dipamerkan di stesen Lingkaran Karak dan Mutiara Damansara Petronas sehingga 8 November ini.

Kolam, iaitu seni hiasan tradisional yang dilukis menggunakan tepung beras, dicipta oleh artis tempatan, Lashanya Rangoli yang menggambarkan motif kolam Amma daripada web animasi itu.

Filem web animasi penuh itu boleh didapati di saluran Facebook dan YouTube Petronas manakala iklan televisyen (TVC) berdurasi 60 saat akan disiarkan di saluran Instagram Petronas, TV3 dan Astro.

Dalam usaha menyebarkan lebih banyak kegembiraan, terdapat messenger pek stiker yang meriah serta hiasan latar untuk platform panggilan video dalam talian
yang boleh dimuat turun dan digunakan ketika musim perayaan ini. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!