Petronas anugerah PSC kepada POSCO International, PCSB - Utusan Malaysia

Petronas anugerah PSC kepada POSCO International, PCSB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menganugerahkan Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) untuk Blok PM524 kepada POSCO International E&P Malaysia Sdn. Bhd. dan Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB).

Syarikat minyak dan gas negara itu berkata, perjanjian itu menetapkan 80 peratus kepen­tingan penyertaan kepada POSCO manakala baki 20 peratus lagi milik PCSB.

POSCO International merupakan anak syarikat milik penuh syarikat pembuat besi Korea Selatan, POSCO International Corporation manakala PCSB ialah anak syarikat milik penuh Petronas.

Blok PM524 terletak di kawasan prolifik Lembangan Melayu yang dikelilingi beberapa telaga pengeluaran utama termasuk Tangga Barat yang membekalkan gas kepada pasaran Semenanjung Malaysia.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia Petronas, Mohamed Firouz Asnan berkata, pihaknya mengalu-alukan kehadiran POSCO International ke industri huluan minyak dan gas Malaysia.

Kata beliau, sebagai pemain baharu di Malaysia, POSCO International akan membawa pengalaman mereka dalam mengendalikan telaga gas di bahagian lain rantau ini, termasuk pembangunan teknologi penyimpanan karbon.

“Penganugerahan ini terus mengukuhkan daya tarik Malaysia sebagai destinasi untuk syarikat membangunkan portfolio tenaga mereka dan maju dalam peralihan tenaga.

“Di bawah aset dan strategi pemain kami yang tepat, disokong rejim fiskal yang progresif, kami berharap dapat memanfaatkan sepenuhnya nilai jangka panjang sumber hidrokarbon di Malaysia, terutamanya di Semenanjung Malaysia yang permintaannya dijangka bertambah,” katanya dalam kenyataan semalam.

PSC tersebut ditandatangani dalam majlis maya yang diadakan semalam.

Petronas diwakili Mohamed Firouz manakala kontraktor pengaturan petroleum diwakili Ketua Pegawai Eksekutif POSCO International, Si-Bo Joo dan Ketua Pegawai Eksekutif PCSB, Hasliza Othman.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Adif Zulkifli. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN