PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) berharap cadangan sebanyak 30 peratus pemerolehan kerajaan diperuntukkan kepada vendor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tetap dipertimbangkan bagi tahun hadapan agar pemulihan PKS dapat dipercepat.
Pengerusi Samenta Pusat, Datuk William Ng berkata, walaupun tidak dimasukkan dalam pembentangan Bajet 2022 minggu lalu, pihaknya merasakan isu tersebut harus diketengahkan di luar konteks belanjawan.
“Isu ini mungkin hanya isu pentadbiran, jadi kerajaan masih boleh mempertimbangkan pelaksanaannya agar sekurang-kurangnya 30 peratus PKS mempunyai peluang tetap dalam mendapatkan tender perolehan kerajaan.
“Langkah ini dapat mempercepat pemulihan PKS yang teruk terjejas ketika pandemik dan secara tidak langsung mengukuhkan ekonomi negara,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Mengulas mengenai insentif kerajaan bagi membantu PKS dalam Bajet 2022, William memberitahu, secara keseluruhan bantuan-bantuan yang diumumkan adalah tepat pada masanya dan menyokong perniagaan tempatan terutama PKS.
“Kami gembira kerana kerajaan mengambil peduli rayuan kami untuk melanjutkan Program Subsidi Upah (PSU) untuk pengambilan semula pekerja yang kini telah diumumkan sebagai JaminKerja dengan subsidi sehingga 30 peratus.
“Selain itu, PKS yang kekurangan modal untuk mula berniaga juga dibantu menerusi ansuran cukai pendapatan korporat, serta dana tambahan di bawah Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Sasaran sebagai sebahagian daripada inisiatif SemarakNiaga.
“Paling penting, kami lega kerana tiada cukai baharu yang dikenakan ke atas perniagaan kerana itu dianggap tidak tepat dalam keadaan kebanyakan perniagaan sedang bergelut dan kini baru bangkit,” ujarnya.
Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan sejumlah RM14.2 bilion dana tersedia untuk PKS dalam Bajet 2022.
Dana khas Bank Negara Malaysia (BNM) terutamanya Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar juga ditingkatkan sebanyak RM2 bilion.
Selain itu, kerajaan juga mencadangkan beberapa inisiatif untuk membantu PKS iaitu penangguhan bayaran ansuran cukai pendapatan bagi PMKS selama enam bulan sehingga 30 Jun 2022 dan semua perniagaan dibenar membuat pindaan anggaran cukai pendapatan yang kena dibayar dalam bulan ke 11 sebelum 31 Oktober 2022.
Potongan cukai khas juga diberikan sehingga Jun 2022 kepada pemilik bangunan atau ruang perniagaan yang memberikan pengurangan sewa sekurang-kurangnya 30 peratus. – UTUSAN ONLINE