PETALING JAYA: Firma modal teroka (VC) terbesar Malaysia, Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP) menandatangani perjanjian untuk melabur dalam syarikat pemula teknologi melalui dua Dana VC baharu, Dana Orbit Malaysia I dan Dana Ficus SEA, dengan jumlah sasaran saiz dana sebanyak RM160 juta secara kolektif.
Kedua-dua Dana VC akan menyediakan pembiayaan ekuiti kepada syarikat pemula dengan potensi pertumbuhan yang kukuh di pasaran Malaysia dan Asia Tenggara, memfokuskan Kecerdasan Buatan (AI), teknologi kewangan, teknologi kesihatan, teknologi hijau, teknologi industri dan Internet Kebendaan (IoT).
Ketua Pegawai Eksekutif MAVCAP, Shahril Anas Hasan Aziz berkata, Dana VC baharu itu akan mengukuhkan lagi aspirasi MAVCAP untuk membantu syarikat pemula tempatan mengembangkan perniagaan mereka, agar menjadi syarikat teknologi seterusnya memanfaatkan peluang pertumbuhan serantau.
“Di samping menambah modal tersedia untuk pemula tempatan dan serantau dalam meningkatkan perniagaan mereka, Dana VC baharu juga menyediakan peluang untuk menggunakan rangkaian global kami yang luas bersama pengurus dana baharu, sambil memupuk juara serantau dan global,” katanya dalam kenyataan.
Dana Orbit Malaysia I akan diuruskan oleh Kejora Capital yang berpangkalan di Jakarta, dengan Kumpulan Sunway dan MAVCAP sebagai pelabur utama. Ini menandakan kerjasama kedua antara MAVCAP dan Sunway Group, selepas Dana Malaysia SuperSeed II pada 2019.
Menurut Pengarah Dana I Orbit Malaysia, Raymond Hor, kerjasama awam-swasta tersebut akan menguatkan matlamat bersama mereka untuk memperjuangkan pertumbuhan syarikat pemula tempatan dan memanfaatkan perkembangan pesat ruang teknologi di rantau ini.
Sementara itu, Dana Ficus SEA melabur dalam syarikat pemula tempatan yang terbaik dalam teknologi logistik dan teknologi hijau selain mempertimbangkan berpotensi lain termasuk Penyelesaian Teknologi Kewangan Islam, AR dan ESG.
Dua Dana VC baharu adalah tambahan terkini kepada 14 Dana VC MAVCAP di pelbagai peringkat pelaburan. – UTUSAN










