KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi tempoh tiga tahun sehingga 2024, sebagai inisiatif bersama dalam meningkatkan keupayaan dan kemampanan kontraktor bumiputera.
Menerusi MoU itu, CIDB akan menyediakan program pembangunan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang berstruktur dan komprehensif dalam membangunkan rantaian bekalan IBS.
Manakala, MARA akan menyediakan latihan keusahawanan dari segi pengurusan, kewangan dan pemasaran, selain memberi khidmat nasihat, pembiayaan perniagaan dan menyediakan premis perniagaan yang bersesuaian dengan keperluan penggiat industri terlibat.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, CIDB dan MARA akan bekerjasama dalam membangunkan dan memudah cara usahawan IBS, melalui Program Pembangunan Vendor (VDP) IBS.
Beliau memberitahu, lapan vendor bumiputera yang mempunyai kapasiti sebagai pengeluar, kontraktor dan pemasang IBS, dijangka dapat dilahirkan dalam tempoh tiga tahun.
“Sasaran itu selari dengan matlamat ke arah meningkatkan keupayaan dan kemampanan kontraktor bumiputera supaya lebih berdaya saing dalam industri pembinaan.
“Aspek lain yang akan turut diterapkan bagi pembangunan vendor dalam kalangan bumiputera ialah revolusi pembinaan 4.0 bagi memacu pelaksanaan ekonomi digital.
“Tempoh MoU berkenaan adalah selama tiga tahun, manakala program pembangunan vendor mencakupi matlamat ke arah melahirkan pengeluar sistem IBS, kepakaran pemasangan dan sebagainya,” katanya pada majlis MoU itu di sini, semalam.
Pada majlis tersebu MARA diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Azhar Abdul Manaf manakala CIDB diwakili Ketua Eksekutif, Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid. Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, IBS dipilih kerana ia sistem yang cekap dan bersih dalam konteks pembinaan, malah kebergantungan terhadap pekerja kurang mahir akan menyusut.
“Justeru, menerusi kerjasama dengan MARA, kita kena melatih dan memastikan pekerja separa mahir dan mahir dapat gunakan kaedah IBS,” katanya
Sementara itu, Mahdzir berkata, MARA sangat mengalu-alukan kolaborasi itu kerana agensi berkenaan mempunyai kursus dan latihan yang berkaitan dengan pembangunan industri sejak dahulu lagi.
“Bagi menyokong kelangsungan kontraktor bumiputera, MARA telah menambah baik kemudahan pembiayaan dengan menyediakan skim kemudahan pembiayaan melalui Skim Pembiayaan Kontrak Ekspress (SPiKE).
“SPiKE merupakan kemudahan pembiayaan kewangan jangka pendek yang disediakan kepada kontraktor bumiputera meliputi aktiviti pembinaan, pembekalan, perkhidmatan dan elektrik.
“Bagi tempoh 2016 sehingga 2020, lebih 11,000 usahawan atau kontraktor telah menerima manfaat pembiayaan SPiKE dengan nilai pembiayaan sebanyak RM1.42 bilion,” katanya. – UTUSAN










