Makmal Pembangunan Motif Batik Keluarga Malaysia dapat sambutan - Utusan Malaysia

Makmal Pembangunan Motif Batik Keluarga Malaysia dapat sambutan

KHAIRUL Hafizi Naharuddin (tengah) melihat peserta Makmal Kraf Eco Print menghasilkan kesan corak dari tumbuhan pada baju di PASAREKA 2021 di Kompleks Kraf Langkawi, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Makmal Pembangunan Motif Batik Keluarga Malaysia yang berlangsung di Kompleks Kraf Langkawi di sini sempena program PASAREKA 2021 yang berlangsung selama tiga bermula Ahad lalu mengetengahkan motif batik yang dibuat menggunakan sumber alam semulajadi.

Aktiviti dianjurkan di bawah makmal tersebut adalah Makmal Kraf Eco Print yang menggunakan sumber alam dan bahan yang mudah didapati serta Makmal Kraf Batik Clay yang menggunakan tanah liat bagi menggantikan lilin untuk menghasilkan corak batik.

Tenaga pengajar makmal tersebut yang juga seorang pereka dari Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Siti Saffrah Mohd. Amin berkata, program itu bertujuan menyahut seruan kerajaan untuk membangunkan motif corak batik Keluarga Malaysia.

“Program ini turut memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai sumber alam yang boleh digunakan untuk penghasilan produk kreatif.

“Setakat ini, produk ini mendapat permintaan daripada pelancong yang mahukan cenderahati yang menggunakan bahan semulajadi yang mesra alam,” katanya ketika ditemui pada program PASAREKA 2021 di Kompleks Kraf Langkawi di sini semalam.

Jelasnya, melalui Makmal Kraf Eco Print, dia memberi tunjuk ajar kepada seramai lebih 35 orang peserta mengenai teknik ketukan untuk menghasilkan tekstur daun di atas fabrik.

Menurut Siti Saffrah, daun yang disusun di atas fabrik seperti baju-T dan beg kain kemudiannya diketuk menggunakan penukul bagi mendapatkan corak daun di atas fabrik tersebut.
Tambahnya, fabrik itu kemudian akan dibasuh menggunakan kapur makan bagi mematikan warna daun.

Sementara itu, salah seorang peserta makmal tersebut, Suhaila Saad, 38, berkata, teknik yang dipelajarinya itu boleh menjadi nilai tambah bagi jualan pakaian teknik ikat yang dilakukannya.

“Teknik ketukan ini tidak banyak diusahakan di sini, contohnya saya sendiri yang menjual pakaian yang dicelup warna dengan teknik ikat.

“Teknik ini menggunakan bahan yang mudah didapati seperti daun dan kapur makan tetapi masih boleh menghasilkan produk yang unik dan boleh dijual kepada pelancong untuk menambah pendapatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya