
KEMAJUAN era evolusi digital semakin berkembang pesat dengan pelbagai transformasi yang mempengaruhi landskap gaya hidup, budaya kerja dan trend pasaran sedunia. Kini, asas pengetahuan digital juga bukan lagi satu perkara yang asing lagi bagi kebanyakkan organisasi dan sektor perniagaan.
Mahu atau pun tidak, amalan pendigitalan perlu diadaptasi bagi memenuhi keperluan operasi dan kepentingan urusan perniagaan. Pendekatan secara holistik dalam memastikan keberkesanan strategi pemasaran digital juga kini tidak lagi hanya tertumpu kepada kemahiran dalam pengendalian platform digital semata-mata, tetapi turut merangkumi pembangunan kreativiti dalam memastikan setiap input pemasaran kandungan dan komunikasi mampu memberi impak yang positif terhadap aspirasi perniagaan. Oleh itu, di antara kemudahan yang menjadi pilihan usahawan dan industri dalam menyokong keberkesanan pemasaran melalui kreativiti adalah dengan memanfaatkan aplikasi Canva yang sudah tersedia di ruangan digital ini.
Ia merupakan kemudahan aplikasi digital yang disediakan secara percuma dan berbayar bagi membantu memudahkan proses reka grafik untuk pelbagai keperluan perniagaan, penciptaan bahan pemasaran dan komunikasi rasmi. Ia kini bukan sahaja dimanfaatkan oleh organisasi perniagaan dalam pelbagai sektor industri, tetapi turut menjadi landasan dalam membantu individu merangkumi para profesional, usahawan dan peniaga dalam talian serta pelajar dalam mencipta hasil kreativiti yang dapat memberi impak komunikasi yang lebih menarik dan efektif.
Bagi tujuan pemasaran, aplikasi Canva menyediakan pelbagai tema pilihan sama ada secara secara percuma atau ya ng berbayar dalam memenuhi keperluan kerja-kerja reka grafik untuk penciptaan visual pemasaran kandungan yang menarik. Aplikasi Canva tidak memerlukan para pengguna memiliki kepakaran yang tinggi dalam bidang reka bentuk dan gra k. Ini kerana terdapat kepelbagaian tema yang telah disediakan bersama tools reka gra k yang mudah dipelajari untuk mencipta poster, risalah iklan, infografik, slaid pembentangan, kad perniagaan, malah pelbagai lagi kemudahan merangkumi pengeditan video untuk kegunaan platform digital dan media sosial.
Aplikasi Canva juga telah banyak membantu para usahawan pemula, mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam memudahkan proses visualisasi idea untuk pembangunan pemasaran kandungan bagi menjayakan pelbagai promosi, iklan dan kempen-kempen pemasaran di media sosial. Melalui penciptaan naskah iklan dengan mudah seperti poster, infografik dan pengeditan video yang mampu menyokong teknik Copywriting dan Storytelling, ia sememangnya mampu menarik perhatian audiens media sosial dalam menjana pelanggan secara lebih efektif.
Selain itu, ia juga dapat membantu memudahkan persediaan kepada usahawan dalam penyediaan kertas kerja bagi tujuan pembentangan pelbagai urusan dan perbincangan rasmi. Kemudahan melalui teknologi pengkomputeran awan oleh aplikasi Canva ini juga dapat memudahkan segala proses pengeditan reka grafik dan penyimpanan data tersebut pada simpanan Cloud. Maka ia boleh dimuat turun pada pelbagai peranti pintar oleh pemilik akaun Canva pada bila-bila masa yang diperlukan.
Aplikasi Canva boleh didaftarkan dengan mudah dengan menggunakan akaun e-mel. Bagi penggunaan desktop, para pengguna boleh melayari laman sesawang ww.canva.com tanpa perlu memuat turut aplikasi tersebut di komputer untuk digunakan. Manakala bagi penggunaan peranti pintar, ia boleh dimuat turun secara percuma melalui aplikasi AppStore untuk iOS atau di PlayStore bagi Android.
Justeru itu, Canva menjadi salah satu kemudahan digital yang menjadi landasan dalam menyokong pembangunan kreativiti pemasaran secara kos efektif. Ia juga merupakan antara elemen penting dalam merangsang tarikan pelanggan melalui visualisasi komunikasi kreatif dalam pengukuhan hubungan serta motivasi pasaran untuk terus berkembang maju dalam cabaran era lambakan maklumat kini.
PENULIS adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN










