Kos banci penduduk RM400 juta - Utusan Malaysia

Kos banci penduduk RM400 juta

MOHD. Uzir Mahidin mengadakan Program Turun Padang Pesuruhjaya Banci Malaysia 2020 di Taman Wawasan, Pusat Bandar Puchong April tahun lalu. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Perangkaan membelanjakan sebanyak RM400 juta untuk menjayakan banci penduduk dan perumahan Malaysia 2020 yang mengambil masa selama 482 hari, bermula 7 Julai 2020 hingga 31 Oktober lalu.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, sebanyak 32.3 juta penduduk daripada anggaran 32.6 juta orang, telah dibanci merangkumi 91.6 peratus warganegara dan 8.4 peratus bukan warganegara.

Beliau berkata, seramai 43,200 pegawai banci telah terlibat bagi menjayakan agenda penting negara itu yang berakhir kelmarin.

Katanya, sepanjang tempoh menjalankan tugas terbabit, seramai 330 pegawai banci te­lah dijangkiti wabak Covid-19 dengan seorang daripadanya meninggal dunia.

“Di sebalik kejayaan kita menghasilkan data banci yang ditutup secara rasmi kelmarin, kami juga menghadapi keka­ngan sehingga menyebabkan 330 petugas dijangkiti.

“Walaupun kami mengikut prosedur operasi standard ditetapkan, jangkitan boleh berlaku daripada pelbagai sumber,” katanya dalam sidang akhbar mengenai dapatan awal Banci 2020 secara maya di Putarajaya, semalam.

Mohd. Uzir berkata, profil penduduk tersebut telah memberikan asas kepada negara untuk membangunkan Malaysia Statistical Population Register (MSPR).

Beliau memberitahu, data yang dilaporkan merupakan data di peringkat operasi dan tertakluk kepada pindaan setelah melalui proses semakan kualiti dan validasi.

“Dapatan awalan tersebut dijadikan nilai ambang kepada Laporan Penemuan Awalan Banci Malaysia 2020 yang akan dikeluarkan pada Januari 2022,” katanya.

Mohd. Uzir memberitahu, Malaysia merupakan antara 12 daripada 75 negara di dunia yang meneruskan proses bancian 2020 walaupun terpaksa menangguhkannya sebanyak empat kali akibat pandemik.

Katanya, adalah penting untuk mendapatkan data-data terkini dalam kalangan penduduk Malaysia bagi tujuan pembangunan jangka sama panjang, selain menyediakan profil penduduk negara yang julung kalinya dilakukan berbanding banci sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN